Berita Hari Ini

Dua Lokasi Panas Di Perairan Perak

LUMUT: Dua lokasi di kawasan perairan Perak iaitu 30 batu nautika barat daya Pulau Jarak dan 30 hingga 40 batu nautika dari perairan Kuala Kurau dikesan menjadi ‘lokasi panas’ pencerobohan nelayan dan penguat kuasa Indonesia.

Pengarah Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata kedua-dua lokasi itu turut dikesan menjadi tumpuan pencerobohan nelayan asing untuk menangkap ikan.

Menurutnya, situasi itu berlaku kerana hasil laut di kawasan berkenaan lebih banyak terutamanya perairan Pulau Jarak yang menjadikan ia tumpuan nelayan tempatan dan asing.

“Kebanyakan kawasan tumpuan adalah di bahagian kira-kira 30 batu nautika barat daya Pulau Jarak kerana hasil laut lebih banyak dan ada kes (penahanan bot nelayan asing dan penahanan bot nelayan tempatan oleh penguat kuasa asing), namun lokasi ini masih dalam perairan negara.

“Di bahagian utara (Perak) di Kuala Kurau dan dua lokasi ini menjadi tumpuan nelayan tempatan dan nelayan asing mencari ikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Perak di Ibu Pejabat Maritim Perak di Lumut, hari ini.

Pada majlis itu, Komander Maritim Shahrizan Raman dilantik sebagai pemangku Pengarah Maritim Perak menggantikan Wan Mat yang dilantik sebagai Pengarah SWASLA Lumut, berkuat kuasa hari ini yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Tan Kok Kwee.

Wan Mat berkata nelayan tempatan juga dinasihatkan supaya tidak berada terlalu jauh dari perairan negara supaya mereka dapat dilindungi dengan cepat sekiranya terdapat kehadiran penguat kuasa asing.

Katanya, pihaknya juga sentiasa bersiap sedia melalui anggota dan aset sedia ada dalam melindungi warga maritim sekiranya berhadapan bencana, keperluan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta membanteras sebarang jenayah di laut.

“Kita meningkatkan rondaan berkala serta sentiasa bersedia untuk melindungi komuniti nelayan di perairan kita dan biarpun kawasan luas kita bekerjasama dengan agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kita juga meningkatkan komunikasi dengan nelayan dan mereka boleh menghubungi terus pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada bila-bila masa untuk menyalurkan sebarang maklumat,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Wan Mat berharap anggota Maritim Malaysia Perak sentiasa memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan tidak berpuas hati dengan pencapaian yang sudah diperoleh memetik laporan Harian Metro.

“Kita juga seharusnya sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran dan rintangan khususnya dari segi mental dan fizikal kerana sebagai penguat kuasa di laut kita memerlukan tubuh dan fikiran yang sihat dan kuat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");