Perak Hari Ini

ERC Akan Kemuka Cadangan Tidak Ada Aktiviti Perang Poster Pilihan Raya

IPOH: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) akan mencadangkan agar aktiviti ‘perang’ poster pada Pilihan Raya yang akan datang, bakal dikaji semula.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata ada kalanya aktiviti tersebut dibuat dengan secara melampau dan membazirkan wang.

Walau bagaimanapun katanya ia akan dikaji dengan secara mendalam berkaitan penetapan peraturan tersebut khususnya dari segi reka bentuk poster Pilihan Raya, lokasi dan sebagainya.

“Perang poster ini banyak menimbulkan banyak masalah dan ada yang melibatkan perbelanjaan yang besar. Kadang-kadang ada dibuat secara berlebihan. Jika sedikit tidak mengapa.

“Jika kita lihat di negara luar, mereka tidak ada terlalu banyak poster-poster Pilihan Raya. Pamerkan satu dua sahaja dan proses Pilihan Raya tetap berjalan dengan baik. Pengundi juga kenal siapa yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Libat Urus Terbuka Edisi Perak: Reformasi Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya di Laman Seri Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau menyebut bahawa jika cadangan itu berjaya dilaksanakan, ia akan dapat menjimatkan dana dan kos perbelanjaan pihak yang bertanding.

Malah katanya aktiviti perang poster tersebut juga hanya akan merosakkan pemandangan sesebuah kawasan dan seterusnya menyukarkan kerja-kerja pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Poster-poster ini ada kalanya dibuat di Thailand, di China dan sebagainya. Ia memakan kos yang besar kepada pihak yang bertanding,” katanya.

Sementara itu kata Abdul Rashid, ERC menerusi jawatankuasa undang-undang akan mengkaji bagi memudahkan proses birokrasi dan perjalanan petisyen pilihan raya.

Katanya ia supaya semua petisyen yang dikemukakan dapat didengar di mahkamah.

“Kebanyakan petisyen ini ditolak di peringkat bawah disebabkan masalah-masalah teknikal. Dan undang-undang yang sedia ada ini perlu diubah suai supaya akan menyenangkan semua pihak,” katanya.

Menyentuh soal hak mengundi yang diberikan kepada remaja 18 tahun, Abdul Rashid berkata semua pihak seperti kerajaan dan sekolah harus memainkan peranan penting dalam mendidik para pelajar terhadap sistem pengundian di negara ini.

Tambahnya, semua pihak harus mendidik mereka supaya tidak mengambil mudah perkara tersebut selain menekankan bahawa pentingnya untuk menjadi pengundi yang bijak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");