Membawang Hari Ini

‘Kak Limah’ Terkejut Jadi Calon Top 5 ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Selepas tiga dekad berada dalam bidang seni, pelakon, Delimawati Ismail, 61, menerima kejutan terbesar apabila dipilih peminat sebagai calon Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32.

Tersenarai buat julung kali, bintang Hantu Kak Limah itu tidak menyangka menjadi pilihan penggemar seni hiburan untuk sama-sama menjadi calon akhir anugerah berlandaskan populariti terbabit.

“Ketika pihak penganjur menghubungi saya untuk mengundang ke majlis pengumuman Top 5 ABPBH 32, saya memang sangat terkejut. Apatah lagi inilah kali pertama nama saya dicalonkan dalam anugerah anjuran akhbar BH ini.

“Saya memang tak sangka, maklumlah sudah berumur. Takut juga melihat saingan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Mereka semuanya muda,” katanya yang bersaing dengan Erra Fazira, Mira Filzah, Hannah Delisha dan Uqasha Senrose.

Katanya, berikutan peminat Hantu Kak Limah daripada pelbagai peringkat usia, dia menyimpan sedikit harapan untuk menggenggam trofi kategori itu.

“Siapa yang tidak mengharap? Apabila sudah dicalonkan, pastinya kita mahu menang. Apatah lagi semua orang tahu, bukan mudah nak layak ke peringkat Top 5. Rasanya, sudah tiba masa saya menang,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites, di sini.

Delimawati akui, impak watak Kak Limah dalam karya arahan Mamat Khalid sangat kuat, membolehkannya diterima ramai sehingga kini.

“Saya percaya, mereka yang mengundi saya bukan sahaja orang Perak, tetapi seluruh peminat Hantu Kak Limah. Anak saya sendiri asyik memainkan filem sama sehingga rosak,” kata pelakon berasal dari Kuala Kangsar ini.

Menceburi dunia lakonan pada 1987, nama Delimawati mula dikenali menerusi telefilem, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel, juga arahan Mamat, setahun kemudian.

Janji Delimawati, andai rezeki kemenangan berpihak kepadanya, dia takkan menaikkan bayarannya.

“Artis lama kita bukan seperti bintang Hollywood. Di sana, lagi berusia lagi mahal bayarannya. Di sini, jika meletakkan harga tinggi, kita langsung tidak dipanggil berlakon. Begitu juga apabila menang anugerah, ada produser risau nak berikan kerja.

“Dalam soal bayaran, biarlah ia berpatutan, sesuai dengan persembahan diberikan. Begitupun, jika terlalu sedikit, saya memang akan menolaknya kerana saya mahu bekerja dengan ikhlas. Kalau hati tidak ikhlas menerima bayaran diberikan, baik tak payah buat,” katanya sambil meluahkan kesyukuran apabila terus menerima tawaran lakonan sehingga kini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");