Berita Hari Ini

Parti Ramai Ahli Melayu Perlu Menang Banyak Kerusi

KAMPUNG GAJAH: Parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai ramai ahli Melayu perlu menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memastikan tidak terus dilabel alat DAP.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, usaha itu penting kerana selama ini semua parti yang mempunyai ramai ahli Melayu dilabel oleh pembangkang sebagai alat DAP.

Katanya, untuk itu penting bagi AMANAH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai ramai ahli Melayu untuk memenangkan calon Melayu.

“Kita kadang-kadang gerun juga (dengan gabungan pembangkang UMNO-PAS) dan kalau dicampur jumlah pengundi PAS dan UMNO, hampir semua tempat mereka boleh menang pada PRU-15 nanti.

“Tetapi jangan dilupa percantuman ini (UMNO-PAS) bukan semuanya bersetuju.

“Jadi dekati dan bersembanglah dengan mereka (ahli yang tak bersetuju dengan gabungan) dalam memastikan mereka menyokong PH,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Pasir Salak, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi; Ketua AMANAH Pasir Salak, Dr Muhaimin Sulam, dan Pengerusi PH Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Mohamad berkata, semua jentera komponen PH perlu bekerja keras dalam memberikan kemenangan kepada calon Melayu bagi memastikan tidak ada lagi label AMANAH, BERSATU dan PKR sebagai alat DAP kerana tidak mempunyai kerusi yang banyak.

Beliau berkata, perkara itu boleh direalisasikan kerana PH sudah membuktikannya melalui kemenangan pada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

“Kalau Melayu (dari pembangkang) hilang kerusi, isu perkauman akan jadi lebih tebal. Jadi, kalau PH memerintah biarlah kerusi Melayu banyak yang kita menang.

“Maka dengan itu kita mesti berusaha supaya kerusi (yang dikuasai UMNO) seperti Pasir Salak menang, Parit menang dan Padang Rengas menang,” katanya.

Katanya, kemenangan itu penting kerana jika PH kekal menang baik AMANAH, BERSATU atau PKR, suara Melayu dalam PH akan lebih kuat dan ia akan membolehkan berlakunya keharmonian dan keseimbangan dalam PH.

Beliau berkata, ia tidaklah bermaksud hubungan komponen dalam PH ketika ini tidak harmoni, sebaliknya persepsi yang dimainkan pembangkang menggambarkan seolah-olah PH sedang kacau bilau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");