Perak Hari Ini

‘Kami Ingin Bantu’, AADK Rayu Penagih Dadah Serah Diri Untuk Dirawat

IPOH- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru masyarakat agar memainkan peranan dalam membantu para penagih dengan memberi dorongan supaya secara sukarela menyerahkan diri bagi dirawat dan dipulihkan.

Ketua Pengarah AADK Malaysia, Datuk Sri Zulkifli Abdullah berkata, satu Projek Rintis di 12 kawasan berisiko tinggi telah dilancarkan sejak bulan Jun bertujuan untuk menangani masalah penagihan dadah secara keseluruhan dimana bukan sahaja dari segi tindakan pihak polis dalam menangkap pengedar mahupun tindakan AADK dalam merawat penagihan dadah.

Menurut beliau, setakat dua bulan pelancaran projek tersebut, seramai 61 orang penagih sahaja yang datang menyerah diri secara sukarela bagi mendapatkan rawatan walaupun jumlah keseluruhan adalah hampir 3,000 mereka yang terlibat dengan penagihan dadah di kawasan yang dinyatakan.

“Penagih dadah adalah pesakit, justeru itu pesakit harus mendapat rawatan sekaligus dipulihkan kerana adalah wajar bagi mereka yang menghidapi penyakit penagihan ini untuk datang sendiri secara sukarela

“Masyarakat turut memainkan peranan utama terutamanya ibu bapa, jiran sekeliling untuk memujuk supaya mereka yang terlibat mendapat rawatan kerana projek rintis ini juga adalah untuk menyedarkan masyarakat dalam menjaga anak-anak sejak kecil lagi.

“Walaubagaimanapun, jika penagih enggan datang disebabkan beberapa faktor, pihak AADK dan agensi keselamatan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan dan menggunakan tindakan mahkamah untuk menahan mereka,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Kursus Pengurusan Pemantapan Media Sosial Ke Arah Kecemerlangan Organisasi AADK 2019 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, hari ini.

Katanya, memang sukar untuk meyakinkan masyarakat kerana stigma ibu bapa yang berpendapat bahawa jika anak-anak didedahkan kepada dadah, perkara itu adalah satu tamparan kepada keluarga mereka seolah-olah memalukan keluarga mereka.

“Stigma itu yang kita hendak buang kerana penagih dadah bukan satu perkara yang kita harus malu tetapi ini adalah penyakit yang mesti kita rawat pulih kerana selagi stigma seperti ini tinggi, selagi itu masalah dadah akan berterusan,” katanya.

12 buah kawasan yang terlibat dalam projek rintis tersebut merangkumi beberapa daerah di Kota Setar, Padang Terap dan Langkawi, Kedah, di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Petaling di Selangor, Sentul di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Batu Pahat di Johor, diikuti Rompin, Kota Bharu dan Dungun masing-masing di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang melibatkan tujuh buah negeri.

Selain itu katanya lagi, jika mereka sendiri sanggup tampil secara sukarela untuk dirawat pulih, perkara berkenaan akan memudahkan lagi proses pemulihan mereka daripada diambil tindakan iaitu dengan cara menangkap dan merawat secara melalui perintah mahkamah dan dimasukkan ke pusat pulihan.

“Saya harap usaha ini mendapat bantuan dari pihak media untuk meyakinkan masyarakat bahawa pihak AADK dan agensi keselamatan yang lain ingin membantu kerana setakat ini seramai 331 orang penagih telah ditahan untuk dikenakan tindakan,” katanya.

Kata beliau, projek rintis ini tersebut akan terus berjalan selama enam bulan pertama bagi fasa pertama dimana pihak AADK ingin melihat usaha tersebut dalam menentukan jumlah penagih baru agar dapat diminimumkan di kawasan yang terlibat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");