Akhbar Kosmo! telah melancarkan kempen #beliakhbarutusankosmo sejak malam tadi.

Melalui pembelian senaskhah akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia ia dapat membantu mengekalkan akhbar Kumpulan Utusan ini terus beroperasi dan mengelakkan dari terus menutup operasinya seperti khabar angin sebelum ini.

Seorang pengikut laman sosial Kosmo! Online, @alif_ara43ea menerusi mesej peribadi menyatakan sokongan terhadap Kosmo! dengan terus membeli akhbar ini.

“Hari ini saya beli tiga naskhah untuk saya, ibu dan datuk, tiada masalah saya akan sokong demi anak bangsa,” jelasnya melalui Instagram Kosmo! Online.

Turut memberi sokongan, @rajamaizurah yang turut menghantar gambar telah membeli dua akhbar Kosmo! sebagai sokongan.

“Saya doakan Kosmo! dan Utusan Malaysia akan kekal releven di negara ini, “tulisnya sebagai tanda solidariti kepada akhbar ini.

Seorang pengikut yang menggunakan nama @fauzan pula memberitahu, ketua pegawai eksekutif syarikatnya telah mengarahkan semua anak syarikat dan jabatan untuk membeli akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia setiap hari sebagai tanda sokongan.

“Harap sokongan ini dapat membantu Kumpulan Utusan daripada menutup operasi,” tulisnya melalui melalui pesanan peribadi melalui Instagram Kosmo! Online.

Seorang pengikut setia Kosmo! @muhaimin_ismail berkata, walaupun mulai Jumaat ini akhbar ini akan naik harga kepada RM1.50 dia tetap memberikan sokongan.

“Saya tetap akan sokong Kosmo! hari-hari beli, isi kandungannya padat informasi,” jelasnya.

“Tiada hal naik 50 sen, kami beli hari-hari beli, kata @state_of_nine_fc melalui laman sosial rasmi Kosmo!.

Selain sokongan melalui pembelian kedua-dua akhbar, Kosmo! Online turut menerima sokongan menerusi pengiklanan.

” Saya berminat untuk membeli iklan dengan Kosmo! ini cara sokongan kami semua pekerja Kumpulan Utusan,” jelas pengikut Facebook yang dikenali sebagai Hairul.

Kempen #beliakhbarutusankosmo turut mendapat perhatian selebriti tempatan dengan ulang hantar di laman sosial masing-masing seperti @drjezaminelim, @rendy_faliq, @hairulazreen, @wanyhasrita dan ramai lagi.

Artis yang turut membeli akhbar Kumpulan Utusan pagi tadi adalah pelakon Azhan Rani dan Rosyam Nor dan penyanyi tersohor Siti Nurhaliza sebagai tanda sokongan lapor Utusan Online.