Berita Hari Ini

Latheefa: Sumbangan Hanya ‘Istilah Cantik’ Untuk Rasuah

KUALA LUMPUR: Antara cabaran buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah menangani budaya memberi dan menerima sumbangan yang melibatkan ahli politik dan anggota kerajaan, menurut Latheefa Koya.

Melainkan dalam beberapa keadaan tertentu, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata sumbangan hanyalah “perkataan cantik” untuk rasuah.

“Bagi saya tidak ada istilah sumbangan. Kalau sumbangan itu kita derma kepada orang yang sepatutnya penerima sumbangan, itu tidak ada masalah.

“Perkataan ‘sumbangan’ itu hanyalah perkataan cantik bagi rasuah,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menetapkan hanya boleh menerima sumbangan – sama ada dalam bentuk makanan atau yang lain – yang bernilai RM500 ke bawah.

Bagaimanapun beliau mengakui amalan pemberian wang, termasuk dari ahli politik kepada masyarakat, sudah menjadi kebiasaan.

Mengakui bahawa ia sukar dihentikan begitu sahaja, Latheefa tetap berkata “budaya memberi” itu perlu diubah.

Beliau memberikan contoh amalan menerima tajaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) – yang tidak terhad ketika musim perayaan saja – dan menurutnya ia menjadi “lubuk rasuah”.

Di kalangan ahli politik pula, beliau berkata ia sudah menjadi kebiasaan dan mereka yang gagal memberi sumbangan ada kala dianggap sebagai wakil rakyat yang gagal.

“Contohnya, kalau orang kahwin, meninggal dunia, kenduri, semua kena hadir dan bukan hadir dengan tangan kosong sahaja… Adakah amalan ini betul?

“Jadi kita perlu lihat semula kenapa ahli politik terpaksa pergi semua majlis seumpama ini untuk menjaga rakyat? Adakah ini cara dia menjadi popular? Dan inilah yang menjustifikasikan sumbangan.

“Rakyat pun sama mengharapkan ahli politik memberikan duit kepada dia. Jadi giving culture ini perlu ditukar,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");