Berita Hari Ini
Like

Mahkamah Tetapkan 17 Sept Dengar Notis Usul Kes Rasuah Ahmad Zahid

August 14, 2019
251 Views
0 Comments
4 minutes read
Mahkamah Tetapkan 17 Sept Dengar Notis Usul Kes Rasuah Ahmad Zahid

SHAH ALAM- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Sept ini untuk mendengar notis usul difailkan pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memindahkan 33 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan notis usul untuk memindahkan 33 pertuduhan Ahmad Zahid ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didengar hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan kerana mereka sedang menunggu keputusan satu permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang difailkan minggu lepas untuk didengar pada 28 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun menyatakan permohonan tersebut bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Julai lepas yang membenarkan tujuh lagi pertuduhan rasuah dihadapi Ahmad Zahid dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam.

“Oleh itu, saya mohon agar pendengaran notis usul hari ini ditangguhkan sehingga keputusan semakan (untuk memindahkan kembali tujuh pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) diputuskan nanti,” katanya.

Bagaimanapun, tiada bantahan daripada pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Rozilah turut mengekalkan jaminan terhadap Ahmad Zahid berjumlah RM200,000 seperti yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai SGD150,000, RM325,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, tujuh pertuduhan menerima rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibacakan sekali lagi di mahkamah di sini dan presiden UMNO itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Bagi tujuh pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta (anggaran RM1=SGD3.06) daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan lapor Bernama.

Komen & Pendapat

Comments are closed.