Sukan Hari Ini

Maloney Puji Semangat Juang Skuad B-18 Ketika Menentang Australia

KUALA LUMPUR- Ketua jurulatih sementara skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara Brad Maloney bangga dengan pasukannya walaupun tewas kepada Australia dalam aksi final Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 malam tadi.

Malaysia yang membenamkan Australia 3-0 pada peringkat kumpulan minggu lepas, tewas dalam aksi final dengan satu gol selepas Lachlan Ricky Brook mencatatkan gol kemenangan pada minit ke-79 di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, Vietnam.

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan kempen 2018, Maloney mengakui ia merupakan perjalanan yang luar biasa bagi pasukannya yang berjuang sehingga berjaya melangkah ke peringkat final.

“Saya sangat gembira dengan persembahan pemain (secara keseluruhan). Mereka telah berjaya sehingga ke peringkat final. Ia adalah usaha hebat daripada seluruh pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Mengulas mengenai kekalahan itu, beliau mengakui pertukaran penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang mengalami kecederaan dan digantikan dengan Firdaus Imran Mohd Fadhil pada minit ke-76 memberi kesan kepada keputusan akhir.

Bagaimanapun, beliau memuji pasukannya yang mempamerkan prestasi cemerlang selain semangat juang yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan lapor Bernama.

“Pemain saya memberikan komitmen dan semangat juang yang tinggi, dan ia sangat hebat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");