Panasnya Hari Ini
Like

Menteri Kata Melayu Pendatang Lebih Teruk Daripada Kenyataan Zakir : Dr Asri

August 16, 2019
404 Views
0 Comments
3 minutes read
Menteri Kata Melayu Pendatang Lebih Teruk Daripada Kenyataan Zakir : Dr Asri

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan bahawa kaum Melayu sebagai pendatang sebelum ini adalah lebih teruk jika dibandingkan dengan kenyataan pendakwah Dr Zakir Naik, baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun kenyataan menteri tersebut keterlaluan namun tiada pihak yang memintanya keluar dari negara ini.

“Di Malaysia ini banyak perkataan-perkataan buruk yang telah dikeluarkan orang orang-orang yang bukan dari segi sejarah mereka berasal dari sini (Malaysia). Ada menteri kata orang Melayu pendatang. Dia pun bukan orang sini dari segi sejarah, tapi ada kita suruh dia keluar (Malaysia)?

“Ada orang mempertikaikan macam-macam termasuklah hak Islam yang merupakan agama majoriti yang dianut di negara ini, tapi tidak ada pula Melayu dan menteri-menteri muda yang baharu jadi menteri ini sentuh apa pun,” katanya menerusi sebuah video ketika beliau menyampaikan ceramah maghrib di Masjid Alwi, Kangar, menerusi Facebooknya semalam.

Beliau berpandangan bahawa kenyataan Zakir ketika program jelajah di Kota Bharu baru-baru ini tidaklah seteruk kenyataan yang mendakwa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanyalah makan dan tidur dan lebih sesuai bekerja di ladang lapor Sinar Harian.

“Kalau tengok betul-betul dalam ucapan, bukan dia (Zakir) suruh halau keluar. Dalam konteks itu kalau kita faham ia tidaklah seteruk apa yang mereka kata.

“Ada orang kata tentera makan dan tidur, begitu tidak patriotik. Dia kata elok tentera buat kerja ladang. Apa yang saya lebih kagum lagi menteri berkaitan tentera tak kata apa, senyap saja,” katanya.

Pada masa sama Asri turut mengakui tidak bersependapat dengan kenyataan Zakir namun cukup sekadar memberi teguran dan nasihat kepada pendakwah tersebut.

“Saya secara peribadi untuk bagi adil, saya beritahu dia secara peribadi supaya tidak bercakap isu berhubung politik tempatan Malaysia sebab pada saya beliau tidak sesuai untuk bercakap walaupun mungkin apa yang dia cakap itu betul.

“Tapi ia akan menimbulkan persepsi yang lain kerana status dia dan seumpamanya,” katanya.

Beliu berkata, sepatutnya pihak yang tidak bersetuju dengan kenyataan Zakir boleh melakukan perkara sama untuk menegur atau mengkritik.

“Tapi kerana satu perkataan ada yang sengaja buat ‘havoc’. Kalau kata kenyataan itu kurang sesuai saya boleh terima tapi ini tegak-tegak kata hantar ke India,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh tindakan segelintir menteri Melayu yang didakwa turut mengkritik Zakir tanpa mengetahui perkara sebenar selain hanya berdiam diri apabila “agama Islam dihina”.

“Kalau nak kritik Zakir boleh kritik, tapi kritik juga yang lain-lain itu. Ini bila Zakir datang kritik, yang lain tak, itu tak adil.

“Saya bukan bersifat perkauman tapi secara rasional. Kalau ada yang kata Melayu dominan dan perlu tindas kuam yang lain yang itu kita tentang,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.