Berita Hari Ini

MoF Pandang Serius Dakwaan Agensi Berita Tidak Bayar Caruman KWSP

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) memandang serius dakwaan bahawa agensi berita nasional Bernama tidak dapat membayar caruman KWSP kerana potongan KWSP digunakan untuk membayar gaji bulan Julai.

Memetik laporan Utusan Online, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, menurut laporan akhbar, Pengurus Kanan Akaun dan Kewangan Bernama, Syarifah Zaini Syed Zain dipetik sebagai membuat dakwaan serius sedemikian:

• Bernama belum menerima geran daripada kerajaan, jadi wang potongan KWSP digunakan untuk membayar pada Julai lalu.

• Geran daripada kerajaan lewat dan masih belum diluluskan Kementerian Kewangan.

• Selain caruman KWSP, kakitangan yang mempunyai pinjaman kereta yang dibayar melalui potongan gaji juga terjejas kerana bayaran balik pinjaman hanya dibuat sehingga bulan Jun.

• Bernama telah meminta Kementerian Kewangan menjelaskan mengenai kelewatan dalam membayar geran suku ketiga yang lazimnya dibuat tepat pada waktunya sebelum pembayaran gaji.

• Untuk gaji bulan Ogos, tiada jaminan bahawa ia akan dibayar sekitar 22 atau 23 hari bulan Ogos.

“Ini adalah suatu dakwaan serius memandangkan fakta menunjukkan sebaliknya.

” Sekiranya gaji bulan Julai tidak mampu dibayar kerana tidak menerima geran daripada Kementerian Kewangan, mengapa pula Kementerian Kewangan hanya menerima surat permohonan bertarikh 19hb Julai 2019 yang diterima pada 22 Julai?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari.

Guan Eng berkata, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Nurini Kassim bahawa kerajaan menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak dapat membuat bayaran KWSP juga tidak berasas.

Ini kerana katanya, Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan pembayaran gaji termasuk sumbangan KWSP.

Jelas beliau, emolumen dan gaji sentiasa akan diberikan peruntukan yang mencukupi agar bayaran emolumen boleh dibayar terdahulu berbanding bayaran lain.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada wang yang harus diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan sumbangan KWSP telah “dialihkan” oleh Bernama untuk tujuan pembayaran lain.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk memulakan sebuah siasatan untuk menentukan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas kedudukan serius ini dan juga menyekat bayaran sumbangan KWSP agar tindakan sewajarnya boleh diambil.

“Kerajaan Persekutuan bukanlah kerajaan yang bankrap seperti kerajaan negeri tertentu yang tidak mampu bayar gaji anggota pentadbiran mereka,” tegas beliau.

Tambah Guan Eng lagi, laporan sedemikian yang membelakangkan fakta sememangnya telah memburukkan imej Kementerian Kewangan yang sering dipersalahkan apabila Kementerian atau agensi melebihi perbelanjaan bajet dan cuba mencari alasan selain daripada kegagalan mereka sendiri menguruskan kewangan dengan baik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");