Panasnya Hari Ini

Permintaan Tidak Dipenuhi Punca Tak Hadir Mesyuarat MPP – Zuraida

PUTRAJAYA: Permintaan tidak ditunaikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi salah satu punca mengapa beberapa pemimpin parti bertindak untuk tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Mendedahkan perkara itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata tiga surat sudah diserahkan kepada Pejabat Presiden, namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas.

“Pada peringkat awal cukup untuk saya katakan ada beberapa perkara yang kita buat permintaan pada Presiden, tapi belum lagi beliau dapat tunaikan.

“Permintaan itu untuk kita selaraskan beberapa perkara, tapi sehingga kini masih tidak dilayan. Tiga surat sudah dikeluarkan yang mana bagi surat pertama beliau menjawab akan ke Makkah.

“Kami kemudiannya beri surat kedua, surat ketiga pula dihantar pada Isnin lalu tetapi kesemua surat berkenaan sehingga kini tidak mendapat maklum balas. Surat berkenaan adalah untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden bersama ahli dan anggota MPP yang terpilih dalam pemilihan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kayuhan Wanita 2019 Semarak Dasar Komuniti Negara di kementeriannya di sini, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Zuraida dalam pada itu turut menyangkal kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang seolah-olah dirinya tidak mengetahui mengenai permintaan berkenaan walhal surat berkenaan diterima olehnya.

Sebelum ini, Zuraida dilaporkan berkata dirinya tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat berkenaan kerana mempunya komitmen lain.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang itu berkata, ketidakhadirannya dalam mesyuarat itu tidak perlu diperbesarkan kerana faktor kesibukannya dalam hal ehwal parti dan pentadbiran kerajaan yang memegang portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Terdahulu, media melaporkan beberapa kepimpinan tertinggi PKR tidak menghadirkan diri ke mesyuarat parti berkenaan walaupun sudah ditegur oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain Zuraida, kepimpinan lain yang tidak hadir pada mesyuarat terbabit ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");