Berita Hari Ini

PM Hantar Jemaah Haji Berlepas Ke Makkah

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, inisiatif Laluan Makkah di Arab Saudi memberi faedah kepada semua jemaah haji termasuk dari Malaysia.

“Oleh itu, bagi pihak rakyat Malaysia, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan ikhlas kami kepada anda (Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan) dan pasukan anda di atas sokongan penuh kepada Tabung Haji dan jemaah haji Malaysia sejak bertahun lamanya, lebih-lebih lagi dengan terlaksananya inisiatif Laluan Makkah, yang terbukti memberi faedah kepada jemaah haji kami.

“Kami berharap hubungan kukuh antara kedua-dua negara akan diteruskan bagi faedah jemaah haji kami, InsyaAllah,” katanya pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji ke tanah suci musim haji 1440 Hijrah di Sepang, hari ini.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamad Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof.

Dr Mahathir turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan Arab Saudi di Malaysia di atas kerjasama yang diberikan terutama berkaitan kebajikan jemaah haji.

Dalam pada itu, perdana menteri juga mengingatkan jemaah haji Malaysia agar menjaga kesihatan sepanjang menunaikan ibadah haji.

“Haji adalah ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal dan emosi. Semasa musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di Tanah Suci, yang keadaan di sana sesak serta cuaca yang panas,” katanya.

Jemaah haji pula perlu berulang-alik ke masjid untuk melakukan tawaf, sa’ie, melontar dan lain-lain ibadat sunat. Dan untuk semua ini tubuh badan perlu sihat dan cergas.

“Jadi, saya ingin pesan supaya ikut segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan supaya tahap kesihatan sentiasa baik dan dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata ibadah ini memerlukan jemaah untuk lebih banyak bersabar, bertoleransi dan prihatin tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");