Perak Hari Ini

‘Puteri Gunung Ledang Turun Ke MAPS’

IPOH: Selepas kejayaan menerusi persembahan teater muzikal Hantu Kak Limah pada tahun lalu, taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) kali ini tampil membawakan persembahan teater muzikal “Puteri Gunung Ledang: Penolakan Dalam Penerimaan”.

Pengarahnya Asrulnai Zaini berkata teater muzikal yang akan dipentaskan bermula 30 Ogos hingga 2 September itu memberi nafas baharu kepada kisah legenda Melayu tersebut.

Katanya, beliau menjanjikan persembahan menarik dan pengalaman berbeza kepada penonton menerusi persembahan serta lakonan yang dijayakan lebih daripada 50 tenaga pelakon, penari, pemuzik dan krew.

“Saya menjanjikan persembahan yang mantap kerana kita bawakan bakat-bakat daripada ‘in-house production’.

“Saya yakin para penonton tidak akan dapat melupakan pengalaman, selain dapat bersuka ria di MAPS, mereka juga akan menyaksikan persembahan Puteri Gunung Ledang ‘versi Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pra Tonton Persembahan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang: Penolakan Dalam Penerimaan, di MAPS Meru Raya, di sini, pada Khamis.

 

Bagi pembawa watak Puteri Gunung Ledang. Norashuaa Atiqa Abd Malik, 25, ia merupakan satu cabaran buatnya tatkala terpaksa berlakon dan menyanyi secara langsung di hadapan penonton.

Menjadikan lakonan Puan Sri Tiara Jacquelina menerusi filem Puteri Gunung Ledang sebagai rujukan, Atiqa berkata beliau dan pelakon serta krew persembahan yang lain telah berlatih selama sebulan bagi menjayakan teater tersebut.

 

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang hadir bersama-sama isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi dalam menyaksikan persembahan pra tonton teater itu berkata beliau kagum dengan persembahan yang dipersembahkan oleh krew dan pelakon teater muzikal tersebut.

“Saya kagum dengan semua pelakon serta persembahan yang turur disertai pelajar-pelajar Sekolah Seni Perak. Saya yakin jika di peluang lagi, bakat mereka akan dapat menyerlahkan lagi bakat
mereka.

“Muzik, lakonan, props dan sebagainya sangat menarik. Saya juga yakin jika mereka dapat berusaha gigih lagi, persembahan ini boleh pergi jauh,” katanya.

Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang: Penolakan Dalam Penerimaan akan dipersembahkan dalam durasi sekitar 1 jam 30 minit, termasuk pra persembahan muzik.

Tiket dijual pada harga RM30 bagi dewasa manakala RM15 bagi kanak-kanak dan ia boleh didapatkan menerusi laman web www.mapsperak.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");