Perak Hari Ini

Rakyat Diseru Hayati Makna Jalur Gemilang

IPOH: Sebagai rakyat Malaysia seharusnya sentiasa berasa bangga untuk mengibarkan Jalur Gemilang, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ujarnya ini kerana kejayaan negara dalam mengelak sebarang bentuk konflik dalam kalangan warganya yang akhirnya menyatukan semua rakyat untuk terus mara ke hadapan amat dicemburui dunia.

Namun katanya mengibarkan Jalur Gemilang sahaja tidak mencukupi tanpa memahami setiap maksud tersirat di sebalik reka bentuk dan warna yang terdapat padanya.

“Sebagai contoh, warna merah pada Jalur Gemilang melambangkan keberanian, kesanggupan dan kegigihan kita sebagai anak Malaysia untuk melalui pelbagai rintangan demi memajukan negara.

“Sebagai anak jati Malaysia, kita seharusnya menanam sifat tersebut secara positif dalam diri masing-masing demi menyatakan perkara-perkara benar dan menjauhi perkara merosakkan yang pada akhirnya menghancurkan negara seperti rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau menjadi hamba kepada dadah.

“Begitu juga dengan warna kuning pada bulan dan bintang pecah 14 yang membawa maksud kesetiaan dan kedaulatan kepada Raja-raja.

“Bagi mencapai maksud itu, sudah tentu kita perlu kembali kepada nilai-nilai yang ada pada Rukun Negara.

“Penghayatan terhadap nilai-nilai itu pastinya memberi nilai tambah terhadap diri kita terutamanya dari aspek untuk memberikan yang terbaik kepada Malaysia tercinta ini,” katanya.

Selain itu Ahmad Faizal turut menyeru semua rakyat untuk turut menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.

Jelasnya dengan menerapkan rasa kasih dan sayang terhadap negara, semua warganya tidak akan melakukan sebarang perkara yang kotor dan keju yang akhirnya akan memusnahkan negara.

“Ketika kita sedang meniti arus pembangunan dan meletakkan negara di landasan yang betul, janganlah hendaknya ada dalam kalangan kita cuba menjadi petualang dengan merosakkan segala-galanya.

“Semoga kita ditunjukkan jalan yang betul bagi membantu pembangunan dan proses pembaikan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau pada majlis yang dihadiri sekitar 10,000 rakyat pelbagai kaum itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Pada majlis tersebut, pelbagai aktiviti  termasuk 10,000 langkah kemerdekaan, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, grafiti Malaysiaku, ziarah kasih, merdekarobik, pertandingan bintang patriotik dan pertandingan mewarna juga diadakan.

Pada majlis sama, Hasnul Zulkarnain turut melancarkan pelepasan 30 kenderaan mewakili jabatan dan agensi di Perak yang akan menjelajah semua daerah bermula semalam hingga 31 Ogos ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");