Berita Hari Ini

Zakir Naik Puji Keberanian Tun M

KOTA BHARU: Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik memuji keberanian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tegas melontarkan bantahan terhadap kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dalam isu konflik di Asia Barat.

Zakir ketika menyampaikan pidato yang diberi fokus terhadap ‘Islamophobia’, malam tadi, beliau melihat Dr Mahathir melakukan kritikan berterusan terhadap Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) mengenai serangan ke atas Iraq.

“Saya bangga dengan Dr Mahathir yang menjadi seorang daripada beberapa pemimpin Islam yang mempunyai keberanian sebegitu.

“Beliau mewujudkan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur pada 2011 yang memutuskan bahawa UK dan Amerika Syarikat membuat bukti palsu bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.

“Tiada negara Muslim lain yang mempunyai keberanian untuk melakukan perkara itu kecuali Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Dakwah di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Dalam program itu, lebih 30,000 pengunjung membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, sempena acara terakhir program Jelajah Dr Zakir Naik ke Kelantan 2019.

Mengulas lanjut, Zakir berkata, bekas presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair menggunakan bukti palsu sebagai alasan untuk menyerang Iraq pada tahun 2003.

Namun, katanya, selepas lima tahun prosiding dilakukan tribunal yang diasaskan Dr Mahathir melalui Pertubuhan Keamanan Global Perdana itu, siasatan terperinci turut dilakukan di Britain.

Siasatan itu, katanya, mendapati tindakan kedua-dua negara terbabit menyerang Iraq bersandarkan maklumat yang tidak tepat.

“Dengan keputusan tribunal itu, jika Bush dan Blair menjejakkan kaki Malaysia, mereka akan ditangkap. Tidak ada negara Islam di dunia yang melakukannya, kecuali Malaysia,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");