Berita Hari Ini

HOC Bukan Hanya Untuk Warganegara China, Hong Kong

PUTRAJAYA – Cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) terbuka kepada rakyat negara lain dan tidak terhad kepada warganegara China dan Hong Kong sahaja.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kempen yang bertujuan menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual itu bagaimanapun masih dalam perbincangan di peringkat kementerian dan belum dibawa ke Kabinet.

“Kempen tersebut masih di peringkat penelitian untuk perincian mekanisma serta peraturan di samping meneliti pelaksanaan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Apabila polisi ini sudah diperkemaskan, ia akan terbuka kepada rakyat negara lain untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pra-pelancaran Asia-Pacific Urban Forum Ketujuh, di sini hari ini, lapor Utusan Online.

Semalam media melaporkan, Zuraida mencadangkan program HOC untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

Zuraida dalam pada itu berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri yang menjaga hal ehwal permohonan MM2H mengenai program HOC.

Katanya, terdapat permintaan supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempertimbangkan golongan pemastautin tetap (PR) di negara ini untuk memiliki rumah di bawah program berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");