Berita Hari Ini

Jangan Salah Guna ETA Untuk Petik Buah

KUALA LUMPUR:Sikap segelintir pelancong Malaysia yang menyalahgunakan Autoriti Pengembaraan Elektronik (ETA) untuk bekerja menyebabkan pihak berkuasa Australia lebih berwaspada agar tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Ini kerana ketika ini, terdapat 400,000 pelancong negara ini berkunjung ke negara itu setiap tahun namun jumlah mereka yang dikesan melakukan kesalahan penggunaan ETA itu adalah terpencil dan tidak menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Michael Growder berkata, bukan saja pelancong negara ini malah dari negara lain juga perlu memahami peruntukan undang-undang dan melakukan perkara yang betul untuk mengelakkan sebarang masalah.

“Jumlah mereka yang terbabit dengan perladangan secara haram atau menjadi pemetik buah tanpa kebenaran ini sebenarnya kecil jika dibandingkan dengan pelancong yang masuk ke Australia.

“Sebab itu pihak berkuasa ingin memastikan bahawa pelancong benar-benar mengikut peraturan, memohon ETA seperti sepatutnya sebelum ke sana. Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan hubungan baik Malaysia-Australia. Kita alu-alukan mereka yang ingin melancong ke sana,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu beliau merasmikan Pelancaran Tasty Australia 2019 di Isetan KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Isetan Malaysia Koji Oyama dan Pengarah Eksekutif The Model Cook Vivien OP Lee.

Growder berkata, sebelum ini ada pihak tersalah anggap mengenai ETA yang dikeluarkan untuk pelancong dan urusan perniagaan, sebaliknya mereka menjadikan ia sebagai kebenaran untuk bekerja.

“Nasihat saya, gunakan visa yang betul dengan sebaiknya. Mohon sekurang-kurangnya tiga minggu lebih awal dan perlu diingat, ia adalah untuk pelancongan saja, bukan untuk kerja atau lain-lain.

“Selagi anda mengetahui fungsi visa itu, semuanya akan baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Tasty Australia 2019 memberi ruang kepada pengguna di negara ini untuk merasai produk makanan dari Australia yang diadakan sejak enam tahun lalu.

Bezanya kali ini, ia menampilkan makanan dari Australia Selatan dan Australia Barat dengan lebih 25 jenama terkenal sedia ada selain 20 produk baru.

Bermula 30 Ogos lalu, ia akan berlangsung sehingga 11 September depan lapor HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");