Berita Hari Ini

Kerajaan Di Landasan Betul Capai Sasaran 3.4% Defisit Fiskal

KUALA LUMPUR: Kerajaan persekutuan di landasan betul untuk mencapai sasaran defisit fiskal 3.4% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ia juga akan menerbitkan hutang langsung bersih bernilai RM52 bilion untuk tujuan perbelanjaan pembangunan tahun ini, seperti dirancang dalam Bajet 2019.

“Defisit fiskal sebanyak RM52 bilion ini bersamaan nisbah 3.4% berbanding KDNK 2019.

“Kerajaan sedang menepati sasaran 3.4%, iaitu nisbah lebih rendah berbanding 3.7% atau RM53 bilion pada 2018.

“Hasil terbitan akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan seperti pembinaan jalan raya dan infrastruktur awam lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim menolak dakwaan jumlah hutang langsung bersih meningkat kepada RM58 bilion setakat hari ini yang melepasi sasaran RM52 bilion untuk sepanjang tahun ini tidak berasas dan tidak benar lapor FMT.

Katanya, angka RM58 bilion itu tidak mengambil kira dua faktor utama.

“Pertama dan paling penting, kerajaan menerbit, menebus hutang dan sekuritinya secara teratur setiap tahun berdasarkan jadual penerbitan dan penebusan hutang tahunan.

“Untuk keseluruhan 2019, kerajaan merancang menerbitkan RM135.7 bilion hutang langsung kasar, sambil menebus semula hutang berjumlah RM83.3 bilion.”

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM38.8 bilion ditebus pada Jan hingga Ogos lalu, manakala RM44.5 bilion akan ditebus bulan ini hingga Dis nanti.

Katanya, dengan hanya melihat angka hutang langsung bersih tanpa mengambil kira jadual penerbitan dan penebusan tahunan akan memberi gambaran tidak tepat mengenai tahap hutang langsung kerajaan.

Lim bekata, tindakan itu bertujuan menimbulkan kekeliruan mengenai keadaan sebenar kewangan negara kerana kerajaan membuat belanjawan secara tahunan, bukannya bulanan.

“Kedua, nilai penerbitan dan penebusan sepanjang tahun tidak sekata. Ini disebabkan keperluan kerajaan untuk mengurus aliran tunainya dengan baik.

“Kerajaan sentiasa menerbitkan lebih banyak hutang dalam separuh tahun pertama berbanding separuh tahun kedua kerana pendapatan kerajaan sentiasa lebih rendah dalam separuh tahun pertama berbanding separuh tahun kedua.

“Pada masa sama, penebusan hutang akan lebih tinggi dalam separuh tahun kedua apabila pendapatan kerajaan adalah tinggi.”

Katanya, perancangan secara tahunan ini menjadi amalan kewangan biasa yang diguna pakai kerajaan semasa dan terdahulu, oleh itu pihak yang mendakwa sebaliknya tidak bersikap jujur.

“Perlu diingatkan sebahagian pendapatan kerajaan digunakan untuk membayar balik hutang dan liabiliti kerajaan, seperti hutang 1MDB.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited terhadap usaha konsolidasi fiskal bagi menangani masalah hutang yang diakibatkan pentadbiran lama.

“Kerajaan sedang menepati sasaran dan matlamat yang ditetapkan bagi 2019.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");