Berita Hari Ini

Kerajaan Tak Akan Anugerah Kontrak, Lesen Dan AP Sewenang-Wenangnya – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menganugerahkan sebarang kontrak, lesen dan permit import (AP) kepada syarikat atau individu tertentu.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila peluang berkenaan sewenang-wenangnya diberikan, ada yang menyalahguna dan ada juga mensia-siakannya.

Beliau berkata, selepas ini, kerajaan akan lebih tegas dan teliti dalam membuat saringan atau memilih membabitkan syarikat atau individu yang benar-benar layak untuk dianugerahkan sebarang kontrak, lesen dan AP bagi mengelakkan pembaziran.

“Kita utamakan keputusan lebih daripada peluang. Dulu banyak peluang dicipta dan dibazirkan. Umpamanya kalau kita bagi kontrak kepada orang yang tidak ada kemahiran kerana kita mahu bagi banyak kepada kumpulan itu, dia cuma jual (kontrak, lesen dan AP) saja.

“Sekarang ini kita tak boleh benar jualan apa-apa kontrak daripada kerajaan atau pun lesen kerajaan atau AP sekalipun tak boleh dijual kepada sesiapa. Sebaliknya, kita akan tentukan orang yang akan diberi kontrak, lesen dan AP kepada orang yang layak.

“Kalau tak layak, kita akan beri latihan kepadanya sehingga dia layak. Kalau tak layak, tak ada duit, tak ada kemahiran, tak tahu berniaga dan tiba-tiba diberi perniagaan. Itu tak akan capai matlamat. Kali ini, tiada lagi penjualan kontrak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Mengikut Perdana Menteri, Mesyuarat Khas Kabinet yang berlangsung hampir tiga jam turut menyentuh mengenai Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, peranan TVET akan menjadi pemacu penting untuk diterapkan sebagai kemahiran setiap pekerja di negara ini sambil menegaskan ia bakal menjadi keutamaan dalam bajet akan datang.

“Peranan TVET adalah satu peranan penting untuk bekal kemahiran kepada pekerja kita. TVET adalah keutamaan, maka bajet kita bagi tekanan kepada keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 akan diterapkan dalam Bajet 2020 dengan memberi keutamaan kepada sektor tertentu terutama membabitkan TVET atau latihan kemahiran.

Beliau berharap ia akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan untuk diperhalusi dalam Bajet 2020 lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");