Berita Hari Ini

Mahkamah Benar Rosmah Lantik Pakar Periksa Barang Kemas Dirampas

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah Mansor agar seorang pakar memeriksa jumlah barang kemas yang dituntut tukang emas Lubnan, kata peguamnya Ranjivan Nambiar.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada kebenaran Bank Negara Malaysia yang menyimpan barang kemas yang disita ketika serbuan polis berkaitan kes 1MDB.

“Ia tertakluk kepada keizinan Bank Negara memandangkan mereka kata bimbang tentang ancaman keselamatan kerana barang kemas itu disimpan di bilik kebal,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah, hari ini.

Beliau memberi penjelasan tentang apa yang berlaku dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin sebelum itu.

Menurut Ranjivan, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah atas asas ada percanggahan berhubung barang kemas tersebut, memandangkan tukang emas Lubnan menyatakan ada empat barang kemas miliknya yang disita, manakala polis berkata hanya satu.

“Bagaimana mahkamah dapat meneruskan kes ini apabila ada tiga versi berbeza berkenaan jumlah barang kemas,” katanya lagi.

Beliau berkata anak guamnya akan melantik tukang emas dari India untuk membuat pemeriksaan, dan berkata nama tukang emas itu sudah disebut di mahkamah dan tiada yang mencabar perkara itu.

Dalam pada itu mahkamah memerintahkan tukang emas Lubnan itu, Global Royalty Trading SAL, untuk membayar RM75,000 sebagai deposit berbanding RM500,000 dalam permohonan Rosmah, katanya lagi.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty memfailkan saman terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak dan menuntut semula 44 barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih.

Jika gagal berbuat demikian, Global Royalty menuntut Rosmah membayar harga semua barang kemas itu yang berjumlah AS$14.79 juta atau hampir mencecah RM60 juta.

Firma itu mendakwa pada 10 Februari 2018, pihaknya menghantar barang kemas tersebut – antaranya rantai berlian, subang, cincin, gelang rantai dan tiara, setiapnya bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) hingga AS$925,000 (RM3.8 juta) – kepada defendan melalui dua ejennya.

Ia mendakwa Rosmah mengesahkan dan menerima terma dan syarat dalam Memorandum No 926 berhubung barang kemas itu.

Firma itu memohon mahkamah mengisytiharkan pihaknya adalah pemilik 44 barang kemas itu, selain arahan agar pemilikannya tidak dipindah kepada Rosmah.

Ia juga menuntut arahan mandatori agar Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas, memulangkan semula barang kemas itu, atau membayarnya pada harga AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

Mahkamah memutuskan 11 Oktober ini untuk pengursan kes dan mengarahkan Global Royalty membayar deposit sebelum tarikh itu.

[Baca berita asal]

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");