Sukan Hari Ini

Skuad Malaysia Raih Tempat Kelima AUFT

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Universiti Malaysia meraih pencapaian terbaik sejak 2016 apabila menamatkan saingan Kejohanan Bolasepak Universiti Asia (AUFT) 2019 di tempat kelima dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan diharungi.

Kejayaan itu hadir selepas skuad negara menewaskan tuan rumah, Taiwan menerusi keputusan 3-2 pada aksi penentuan tempat kelima/keenam, semalam.

Aksi terbabit berlangsung dengan sengit namun Malaysia terlebih dahulu mendahului permainan menerusi penyudah Muhammad Rafie Mat Yaakob pada minit ke-23 namun Chia Yuen Hsein mengikat kedudukan buat tuan rumah lima minit sebelum babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, Malaysia memperagakan corak pemain agresif apabila meledak dua gol menerusi Muhammad Nizzaruddin Jazi sekali gus membolehkan skuad negara mendahului 3-1.

Sekalipun Taiwan mengurangkan defisit hasil jaringan Tsen Zhu Shen pada minit terakhir namun ia belum cukup untuk menyekat Malaysia daripada meraih kemenangan 3-2.

Sebagai rekod, Malaysia terpaksa beraksi bagi perlawanan penentuan tempat kelima/keenam selepas gagal mara daripada peringkat kumpulan apabila kekurangan satu gol berbanding Oman.

Perlawanan peringkat kumpulan menyaksikan Malaysia terikat tanpa jaringan dengan Oman sebelum membelasah Indonesia 10-0 dan menewaskan Vietnam 2-0.

Pengurus pasukan negara, Mohd Farid Dewan jelas berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya pada edisi kali ini apatah lagi selepas ‘kebal’ menamatkan saingan tanpa sebarang kekalahan lapor BHarian.

“Ini pencapaian terbaik Malaysia sejak empat edisi lalu dan paling membanggakan saya adalah kita tidak pernah tewas dalam kejohanan kali ini.

“Saya harap pasukan ini dapat dikekalkan bagi persiapan kita menghadapi Temasya Sukan Universiti ASEAN 2020 nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");