Panasnya Hari Ini

Tiada Arahan Najib Untuk Lapor Polis Dan SPRM – Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk melaporkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak berkuasa termasuk polis.

Menurut BH Online, saksi kelapan pendakwaan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, dalam keterangannya berkata beliau juga tidak menerima arahan daripada Najib untuk melaporkan isu itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, perkara berhubung 1MDB sering dijadikan tajuk utama dalam mesyuarat pengurusan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Walaupun sering mengangkat isu (1MDB) dalam mesyuarat, ia tidak dibincang secara terperinci.

“Sebagai contoh, isu berhubung PetroSaudi, di mana didakwa adalah duit salah guna 1MDB, selain gaya hidup mewah Jho Low dan filem ‘Wolf Of The Wall Street’ yang dikatakan menggunakan duit 1MDB,” katanya.

Saksi turut disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhubung keterangannya sebelum ini bahawa ketuanya iaitu Ketua Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias, pernah menghempaskan fail sambil berkata “Duit 1MDB laa Bro…” kepadanya di pejabat dalam satu kejadian sebaik selesai mesyuarat pengurusan.

Sri Ram: Bilakah perkara itu berlaku?

Amhari: Sekitar awal 2015 sebelum Datuk Azlin meninggal. Beliau melafazkan ayat itu selepas turun dari pejabat Najib.

Sri Ram: Adakah isu itu adalah paling hangat?

Amhari: Pada waktu itu tiada isu lebih hangat selain duit 1MDB diselewengkan.

“Berdasarkan kata-kata Datuk Azlin itu, saya boleh rumuskan bahawa ia merujuk kepada masalah paling hangat dan sukar ketika itu termasuk isu PetroSaudi dan ‘Wolf Of The Wall Street’.

Sri Ram: ‘Wolf Of The Wall Street’ itu merujuk kepada apa?

Amhari: Filem yang dikeluarkan oleh Reza Aziz iaitu anak tiri Najib.

Sementara itu, ditanya berhubung sama ada bekas pegawai khas kepada Najib adalah pemilik syarikat Tycoon Gain Ltd dan Aabar Investment PJS Ltd (BVI), Amhari menjawab “tidak.”

Sri Ram: Adakah nama kamu terdapat pada dokumen itu?

Amhari: Tiada.

Amhari Efendi, yang dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan sejak 3 September lalu, hari ini dilepaskan sebagai saksi pendakwaan.

Saksi kesembilan yang dijangka dipanggil memberikan keterangan ialah Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB. Perbicaraan kes 1MDB yang masuk hari ke-11 bersambung petang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");