Perak Hari Ini

Dakwaan Orang Asli Terima ‘Sagu Hati’: MB Perak Serah Kepada Pihak Berkuasa Untuk Siasat

TAPAH: Kerajaan Perak menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat laporan yang dibuat 10 keluarga orang asli dari Kampung Lawai, Sungai Siput yang mendakwa diberikan ‘sagu hati’ berjumlah RM40,000 daripada sebuah syarikat konsesi balak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam masa yang sama memuji langkah pihak orang asli yang berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

Malah beliau turut menyeru semua pihak agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang jenayah berkenaan aktiviti rasuah di negeri ini.

“Apabila perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalakan siasatan, dan saya tidak dapat mencampuri urusan berkenaan.

“Namun kami sentiasa memantau perkembangan tentang perkara tersebut dan pentadbiran saya memang berhasrat untuk memastikan dalam apa jua urusan sama ada melibatkan pihak kerajaan atau swasta, tidak membabitkan gejala penyalahgunaan kuasa atau rasuah.

“Ini adalah salah satu komitmen kerajaan negeri dalam benar-benar menentang gejala rasuah. Tahniah kepada penduduk yang telah membuat laporan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Anak Pokok Durian jenis Musang King di Kampung Batu 14, Jalan Pahang di sini, hari ini.

Pada minggu lalu, 10 orang wakil keluarga masyarakat Orang Asli dari Kampung Lawai telah ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak.

Mereka menyerahkan sebahagian wang berjumlah RM15,000 yang didakwa diberikan oleh syarikat pembalakan agar tiada bantahan dibuat penduduk terhadap aktiviti pencerobohan yang dilakukan di kawasan penempatan mereka.

Pada Ogos, sekumpulan Komuniti Orang Asli dari Kampung Pos Piah Sungai Siput telah membuat laporan polis berkenaan dakwaan menerima ‘sagu hati’ berjumlah RM1150 bagi tujuan yang sama.

Mengulas perkara berkenaan, Menteri Besar berkata siasatan di peringkat seterusnya akan diserahkan kepada SPRM dan Polis selain yakin Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) akan turut memberikan kerjasama.

“Pada awal, JPNPk ada menyerahkan satu laporan kepada saya dan didapati tiada lesen pembalakan yang diluluskan di kawasan berdekatan yang terlibat.

“Namun, setelah diperiksa lanjut JPNPk mendapati terdapat satu lesen pembalakan yang sedang diusahakan di satu kawasan di tempat berkenaan.

“Perkara ini perlu disiasat bersama-sama dengan pihak berkuasa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");