Perak Hari Ini

DAP Mohon Penjelasan MB Perak Berhubung Lantikan Ahli Majlis

IPOH: DAP Perak memohon penjelasan daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung lantikan dua Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) baru-baru ini.

Setiausahanya, Wong Kah Woh berkata pelantikan Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada bulan lalu tidak melalui sebarang perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak.

Beliau mendakwa pelantikan tersebut dilihat seolah-olah bercanggah dengan persefahaman dan persetujuan yang dimeterai di peringkat PH negeri.

Jelasnya seramai 18 Orang Ahli Majlis MBI daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) telah dilantik pada Ogos lalu manakala empat kuota yang masing-masing untuk PKR dan organisasi bukan kerajaan (NGO) telah ditangguhkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata PH Perak sebelum ini telah bersetuju supaya perkara tersebut dibincangkan dan diputuskan dalam Majlis Pimpinan PH Negeri.

Ujarnya lagi, prinsip yang sama turut terpakai untuk pelantikan Ahli-Ahli Majlis bagi kuota NGO di PBT yang lain di negeri ini.

“Sejak daripada pelantikan-pelantikan Ahli-Ahli Majlis PBT pada bulan Ogos 2019, tidak ada sebarang perbincangan diadakan di peringkat Majlis Pimpinan PH Perak. Maka, tidak ada keputusan berkenaan dengan perkara tersebut telah dibuat.

“Bagaimanakah pelantikan kedua-dua Ahli Majlis MBI tersebut boleh dimuktamadkan tanpa perbincangan dan keputusan dari Majlis Pimpinan PH Perak?

“Sama ada pelantikan kedua-dua Ahli Majlis MBI tersebut telah melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri seperti senarai Ahli-Ahli Majlis yang lain, atau secara ‘unilateral’ oleh Menteri Besar sendiri?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Justeru beliau menggesa penjelasan daripada Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Negeri selain memohon supaya Menteri Besar dapat mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara sama.

“Saya percaya bahawa semangat kemuafakatan PH harus didukung dalam kesemua keputusan yang telah dan akan dibuat,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");