Berita Hari Ini

Foodpanda Akan Ulas Kemudian

KUALA LUMPUR: Syarikat penghantar makanan dalam talian, foodpanda dijangka mengumumkan pendiriannya berhubung kontroversi isu berkaitan skim pembayaran kepada penghantar mereka dalam tempoh terdekat.

Pengurus Bahagian Perhubungan Awam foodpanda Malaysia Sdn Bhd, Lisa Santa Maria, berkata pengumuman itu akan dibuat sejurus perbincangan bersama pihak berkaitan dimuktamadkan.

“Setakat ini kita tidak akan memberi sebarang maklum balas mengenai isu ini kerana perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Belia dan Sukan sedang dijalankan.

“Kita akan teliti keputusan perbincangan ini terlebih dahulu, sebelum mengemukakan sebarang maklum balas mengenai isu berkenaan,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam supaya foodpanda mengembalikan skim pembayaran terdahulu bagi menyelesaikan kemelut antara pihak pengurusan dan penghantar mereka.

Malam tadi, Syed Saddiq mengadakan dialog dengan penghantar foodpanda di sini sebelum terdahulu menemui pengurusan syarikat berkenaan bagi membantu meleraikan isu berkenaan.

Syed Saddiq juga berkata isu berkaitan skim bayaran baharu penghantar makanan foodpanda itu juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.

Isu membabitkan penghantar makanan foodpanda tercetus selepas beberapa klip video dan foto tersebar sejak beberapa hari lalu, antara lain memaparkan mereka melancarkan mogok kerana membantah pengenalan kadar baharu bayaran untuk pekerja.

Kelmarin, lebih 200 penghantar foodpanda dilaporkan mogok di ibu pejabat foodpanda Malaysia Sdn Bhd dekat Jalan Chan Sow Lin, di sini, sebagai membantah skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");