Berita Hari Ini

Guna CCTV, Periksa Mengejut Kesan Seludup Sempadan

KUALA LUMPUR: Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dan pemeriksaan secara mengejut menjadi fokus utama bagi mengesan kes penyeludupan rentas sempadan yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya akan menempatkan pegawai di lokasi yang ada rakaman CCTV selain melakukan pemeriksaan mengejut bagi membanteras aktiviti penyelewengan secara menyeluruh di sempadan negara.

“KDNKA sedang giat ambil tindakan termasuk menggunakan khidmat CCTV dan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, tiada penahanan baharu membabitkan mana-mana individu, pegawai atau anggota berhubung aktiviti itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 10 pegawai kanan polis dan 33 anggota pelbagai pangkat yang dikenal pasti terbabit rasuah berkaitan penyeludupan rentas sempadan, sudah dikenakan tindakan sejak 2014.

Antara tindakan tatatertib diambil terhadap mereka ialah penahanan kenaikan gaji dan pangkat, denda serta ditempatkan di pos yang tidak aktif.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata bagaimanapun, ada yang tidak dapat didakwa di mahkamah berikutan masalah teknikal.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Datuk Shaharudin Abu Sohot, ketika dihubungi berkata isu penyeludupan itu akan ditangani dan diuruskan pihak polis kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mereka.

“Kita serah perkara terbabit kepada PGA (Pasukan Gerakan Am). Bagaimanapun, isu ini seharusnya menjadi iktibar dan pengajaran kepada anggota AKSEM supaya sentiasa mengekalkan tahap integriti yang paling tinggi ketika menjalankan tugas.

“Pada masa sama, Ibu Pejabat AKSEM juga akan sentiasa memantau penugasan anggota di kawasan seliaan AKSEM,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");