Panasnya Hari Ini
Like

Gunakan Pengaruh Untuk Beri Manfaat Kepada Rakyat – Anwar

October 5, 2019
352 Views
0 Comments
3 minutes read
Gunakan Pengaruh Untuk Beri Manfaat Kepada Rakyat – Anwar

PORT DICKSON – Dalam berpolitik, gunakan pengaruh yang ada untuk mencari sesuatu yang dapat disumbangkan kepada rakyat dan bukannya mengaut keuntungan untuk diri sendiri apatah lagi terlibat dengan rasuah, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik laporan Bernama, Anwar, yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata, perkara itu tidak mustahil dilakukan sekiranya semangat Addabani Rabbi dapat diterapkan dalam diri dan dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Rasulullah SAW dalam hadis baginda me­ng­ungkapkan Addabani Rabbi Faahsana Ta’dibi ber­maksud Tuhanku didiklah aku dengan didikan yang ter­baik dan sekiranya kita tercerna dari semangat Addabani Rabbi ini maka kita tidak akan cenderung ke arah politik sempit, mengadu domba, perkauman termasuk rasuah, maka kita akan dapat gunakan (pengaruh) untuk membela nasib rakyat.

“Sebab itu saya selalunya akan pastikan setiap pelabur yang datang saya akan cari jalan untuk dapatkan peruntukan daripada mereka yang boleh disumbangkan semula kepada rakyat sebagai contoh komputer untuk semua sekolah di Port Dickson… daripada ambil duit untuk komisen dan rasuah yang sudah jahanamkan negara lebih baik gunakan pengaruh kita bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya semasa Lawatan Rasmi Anggota Parlimen Port Dickson di Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Perdana di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan peruntukan tambahan bernilai RM720,000 daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi membina bumbung sekolah dataran sekolah pelajar SK Intan Perdana.

Mengulas lanjut, Anwar berkata terdapat satu syarikat besar akan membangunkan sebuah hotel bertaraf enam ke tujuh bintang di Port Dickson tetapi pembangunan hotel itu harus mendatangkan manfaat kepada rakyat bukan sahaja dari segi peluang pekerjaan bahkan kemudahan yang turut sama dapat dinikmati rakyat.

“Tadi dalam Pemukiman Pimpinan Keadilan bersama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun telah dimaklumkan ada satu syarikat besar mahu bangunkan hotel enam tujuh bintang di Port Dickon, tidak salah untuk bangunkan pelancongan di Port Dickson tetapi rakyat juga harus dapat manfaatnya, takkan rakyat tengok sahaja hotel yang mahal-mahal ini?

“Maka pihak hotel bercadang akan adakan team park bersebelahan hotel yang dibuka kepada orang awam dengan harga kadar bayaran yang lebih murah.

“Saya juga ada minta daripada pihak hotel berikan latihan kepada anak muda di Port Dickson kerana hotel ini perlukan pekerja segera 400 orang dan apabila siap mereka perlukan 600 pekerja dengan kemudahan perumahan pekerja juga akan dibangunkan… ini apa yang dipersetujui pihak hotel,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata pihaknya juga ada meminta agar sebuah syarikat elektronik dan IT terbesar di Jepun untuk menyumbangkan kepakaran mereka kepada sebuah sekolah menengah di Port Dickson dan sekolah ini sekaligus akan menjadi anak angkat kepada syarikat ini.

“Saya tidak minta komisen daripada dia (syarikat), tidak minta komputer untuk diri sendiri tetapi saya minta agar sebuah sekolah menengah di Port Dickson dijadikan anak angkat dan pemilihan sekolah ini masih di peringkatkan penilaian,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.