Berita Hari Ini

Guru Takmir Perlu Tingkat Profesionalisme – Mujahid

SEBERANG JAYA – Para guru takmir masjid dan surau di seluruh negara diminta untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan sentiasa memperluaskan pengisian Tafaqquh Fiddin (pendalaman ilmu agama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata bagi mencapai tahap tersebut, prestasi guru takmir perlu ditingkatkan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu memperluaskan lagi program tafaqquh fiddin di seluruh Malaysia.

“Saya mahu prestasi guru takmir ini dipertingkatkan dan guru takmir sentiasa diberikan pengisian. Program Tafaqquh Fiddin dan Pengkaderan Fuqaha Guru Takmir Zon Utara ini dilihat menyahut seruan saya untuk mempertingkatkan profesionalisme dan prestasi mereka dan saya mahu Jakim meluaskan lagi program seperti ini ke zon-zon lain di seluruh Malaysia,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada majlis Program Tafaqquh Fiddin Perdana Guru Takmir Masjid Dan Surau Peringkat Zon Utara Pulau Pinang,Perak,Kedah Dan Perlis Kali Ketiga 2019 di sini malam tadi, lapor Bernama.

Selain itu Mujahid berkata penyelaras dan guru takmir perlu bersama-sama untuk menerapkan tiga gagasan iaitu pertama gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia.

“Pihak kerajaan sangat bimbang dan khuatir dengan aliran-aliran pemikiran yang tidak mengikut manhaj ahli sunnah wal jamaah menyebabkan perpecahan dan pergeseran sesama ahli masyarakat khasnya di masjid-masjid dan surau-surau di negeri ini.Oleh itu tuan -tuan perlu bersama-sama menerapkan tiga gagasan berkenaan,” katanya.

Mujahid berkata Jabatan Agama Islam sedia maklum bahawa masjid dan surau adalah tempat penyatuan dan bukan sekadar untuk beribadat sahaja, maka tidak mahu ianya menjadi tapak untuk mengembangkan isu tersebut dan ummah berpecah atas perkara yang tidak sepatutnya, para fuqaha murabbi perlu memainkan peranan sebagai agen penyatuan dalam masyarakat di zon utara khasnya.

“Peranan para murabbi perlu adalah membentuk akhlak masyarakat dan masyarakat perlu disatukan walau berlainan ideologi politik serta fahaman atas dasar keilmuan. Oleh itu sudah menjadi tugas kita bersama untuk membetulkan keadaan dan mengimarahkan masjid, seterusnya memelihara penyatuan masyarakat agar tidak berpecah belah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menaruh harapan tinggi agar guru takmir, imam dan jawatankuasa masjid yang menjadi jurucakap dalam masyarakat benar-benar menjiwai peranan mereka di samping bertindak sebagai agen perubah dan penggerak masyarakat ke arah ketamadunan Islam yang pernah gemilang satu ketika dahulu.

“Formula menyatukan ummah melalui masjid sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah seharusnya kembali menjadi asas dan inspirasi kita dalam membangunkan ummah. Namun hari ini masjid dan surau yang tinggi dan mulia kedudukannya di sisi Islam serta menjadi lambang perpaduan umat Islam semakin dicemari dengan agenda-agenda keduniaan yang sempit,” katanya.

Program yang disertai lebih 200 guru takmir masjid dan surau dari zon utara itu berlangsung selama tiga hari bermula Ahad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");