Berita Hari Ini

Kalau Semua Naik Kereta Terbang, Polis Pun Kena Terbang – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bersedia untuk membangunkan sebarang projek mengenai kereta terbang pada masa ini.

Sebaliknya, langkah yang difokuskan pada masa ini adalah dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan rangkaian sistem rel yang sememangnya telah sedia ada, kata Perdana Menteri, Tun dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kereta terbang mungkin akan wujud satu hari nanti tetapi ia bukanlah pada masa sekarang.

“Kereta terbang mungkin akan ada satu hari nanti, tapi bukan hari ini. Mungkin satu hari nanti kamu boleh terbang dengan dron. Dron lebih selamat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 di KL Sentral di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof apabila memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek kereta terbang akan dapat dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Menurut Redzuan, perbincangan awal pihak swasta dan usahawan berhubung projek kereta terbang, antara lain bagi memastikan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang disingkatkan kepada sejam.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memberitahu, masalah lain akan wujud pula sekiranya semua orang beralih menggunakan kereta terbang.

Malah, polis yang menjaga keselamatan juga terpaksa terbang bagi mengawal lalu lintas dan perkara itu akan menyebabkan masalah besar berlaku.

“Kalau semua orang naik kereta terbang, cuba bayangkan bagaimana banyak kereta di atas.

“Ia akan menyebabkan berlakunya kesesakan di udara dan polis juga kena terbang untuk jaga lalu lintas. Itu akan menyebabkan masalah besar,” ujarnya sambil disambut gelak ketawa hadirin yang mengikuti dalam sidang media berkenaan.

Pada Mac lalu, Redzuan dilapor berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan dan prototaip kenderaan itu dijangka diperkenalkan tahun ini.

Redzuan turut memaklumkan kementeriannya telah mengenal pasti industri mobiliti air  sebagai salah satu industri penting yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");