Perak Hari Ini

Kerajaan Diminta Segera Wujudkan Pusat Penempatan Khas Mangsa Banjir Di Bagan Serai

BAGAN SERAI: Kerajaan diminta mewujudkan sebuah pusat khusus untuk penempatan sementara mangsa banjir di daerah Bagan Serai ekoran jumlah mangsa yang semakin meningkat.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata beliau difahamkan sehingga kini, terdapat 97 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di Alor Pongsu, sejak Isnin.

Katanya selain sesak, keadaan menjadi lebih sukar apabila kemudahan asas di pusat tersebut seperti tandas, bilik mandi serta tempat memasak mengalami kerosakan.

Ujarnya perkara tersebut harus dipandang serius oleh kerajaan demi keselesaan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

Menurutnya lagi sekolah tersebut juga telah menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir sejak 20 tahun yang lalu.

Justeru, bagi jangka masa pendek, beliau mencadangkan agar sebuah dewan terbuka yang lengkap dengan kemudahan asas seperti ruang memasak, tandas, ruang solat dan tempat beristirahat dapat dibangunkan segera oleh kerajaan.

“Ia perlu diwujudkan dengan kadar segera kerana Daerah Bagan Serai ini hampir setiap tahun sering dilanda banjir. Malah ada satu masa dalam tempoh setahun, berlaku dalam dua atau tiga kali kejadian banjir ini.

“Untuk jangka masa panjang pula, saya mencadangkan kepada kerajaan agar kuarters guru yang usang dan terbiar berdekatan dengan SK Matang Jelutung, Alor Pongsu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Saya mencadangkan agar ia dapat dibaik pulih dan seterusnya dapat dijadikan sebagai pusat khas bagi penempatan sementara mangsa-mangsa banjir di Bagan Serai,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 15 keluarga mangsa banjir di SK Changkat Lobak, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai yang diwakili Pengarah Operasi Parlimen Bagan Serai, Haizulilail Mohamad telah menyampaikan sumbangan kepada tujuh keluarga yang terawal dipindahkan ke pusat pemindahan tersebut.

Dalam pada itu katanya lagi, keadaan Jalan Bagan Serai – Selama di Kilometer 15 – 16 perlu dikaji semula selain ditinggikan agar kejadian banjir kilat tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Dilaporkan pada Isnin, jalan yang menghubungkan daerah Kerian dan Selama itu ditutup ekoran jalan dinaiki air kira-kira 0.3 meter, akibat limpahan air Sungai Beriah dan Sungai Kerian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");