Berita Hari Ini

Mahkamah Tolak Saman Guan Eng Terhadap Gerakan, 2 Akhbar Cina

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini menolak tuntutan mahkamah yang difailkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terhadap pemimpin Gerakan, Jason Loo dan dua akhbar Cina berhubung artikel mengenai penjualan tanah kerajaan di Peel Avenue kepada hospital swasta pada 2017.

Hakim Rosilah Yop dalam penghakimannya menolak saman itu selepas penterjemah mengaku tidak menterjemahkan artikel itu secara kata demi kata.

Beliau berkata penterjemah yang merupakan saksi plaintif juga mengaku menggunakan artikel edisi atas talian bukannya edisi bercetak.

Rosilah berkata artikel itu sepatutnya diterjemahkan ke bahasa Malaysia, bukan bahasa Inggeris mengikut kehendak mahkamah.

“Saksi juga mengaku menggunakan kata-katanya sendiri dalam menterjemahkan teks itu di mana kelihatan diambil dari sumber yang berbeza.

“Mengambil kira faktor-faktor ini, saya mendapati kes plaintif itu cacat,” katanya.

Beliau juga memerintahkan Lim membayar kos RM150,000 kepada defendan.

Lim menyaman Loo dan China Press Berhad berhubung satu artikel bertajuk: “Jason Loo: One man decides, Pakatan Harapan DAP-led state government run by rule of one man” yang disiarkan pada 29 Mei 2017.

Beliau juga menyaman Loo dan Guang Ming Ribao Sdn Bhd berhubung artikel bertajuk “Jason Loo urges Lim Guan Eng to explain why Peel Avenue land was sold prior to gazette” bertarikh 29 Mei 2017.

Loo juga didakwa secara berasingan berhubung sidang media yang diadakan mengenai isu yang diterbitkan oleh akhbar tersebut. Ketiga-tiga kes itu didengar bersama dalam perbicaraan.

Loo yang mewakili dirinya sendiri dalam kes itu, berkata keputusan mahkamah itu merupakan kemenangan besar bagi semua rakyat Pulau Pinang.

“Sebagai individu bersendirian seperti saya tidak cukup. Semua rakyat Pulau Pinang mesti mengamalkan semak dan imbang terhadap kerajaan sekarang,” katanya.

Ketika dihubungi, peguam Lim, Murelidharan Navaratnam berkata keputusan untuk membuat rayuan terhadap kes itu belum dibuat.

“Memandangkan penemuan mahkamah mengenai terjemahan itu, di mana mahkamah didapati ia cacat yang diakui oleh saksi, saya melihat sama ada kita perlu mengambil tidakan lebih lanjut,” katanya kepada FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");