Berita Hari Ini

Mekanisme Baharu Penswastaan Lebuh Raya Perlu

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dicadang supaya mencari sebuah mekanisme baharu yang lebih telus dalam penswastaan lebuh raya khasnya memandangkan lebih banyak lebuh raya akan dibina pada masa akan datang, kata penganalis ekonomi Pankaj C. Kumar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, beliau berkata sesebuah syarikat konsesi lebuh raya tidak boleh memegang konsesi terlalu lama sehingga boleh mencecah tempoh melebihi 50 tahun perkhidmatan kerana ianya dilihat menyusahkan pihak pengguna.

“Semua pihak berkepentingan termasuklah Kementerian Kewangan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) perlu duduk semeja membincangkan mengenai mekanisme baharu ini, yang mana ianya perlu ambil kira faktor bagaimana untuk membina lebuh raya itu secara konsesi atau tidak, serta berapa lama tempoh pegangannya oleh pihak konsesi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang menyatakan kerajaan telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang daripada pihak konsesi melibatkan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART.

Turut ditanya pandangannya mengenai aspirasi kerajaan yang komited untuk menamatkan kontrak konsesi PLUS pada 2038 nanti, Pankaj menjangkakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebagai pemegang saham 51 peratus dalam PLUS Malaysia Berhad akan membeli baki saham yang dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadikan ia milik penuh kerajaan.

“Khazanah dan KWSP boleh berbincang dan mempersetujui dengan cadangan yang munasabah mengenai berapa nilai PLUS yang sebenar. Dengan itu KWSP dapat menjual pegangan sahamnya pada harga berpatutan dan semua ahli KWSP juga akan dapat faedahnya secara tidak langsung selepas penjualannya, ianya dilihat sebagai situasi menang-menang antara mereka,” katanya.

Sementara itu, pemberian diskaun tol 18 peratus secara purata di semua lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 dilihat dapat mengurangkan beban pengguna terutama bagi mereka yang kerap berulang-alik dari tempat kerja.

Di SEREMBAN pekerja swasta, Wan Mohamad Nabil Wan Nasir, 22, yang menyambut baik langkah berkenaan berkata ia sememangnya diperlukan memandangkan kos yang ditanggung mencecah RM300 sebulan ekoran kerap berulang-alik dari kediamannya di Seremban ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

“Jadi dengan adanya diskaun tol ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan tol yang mana penjimatan duit daripada itu boleh digunakan untuk menampung kos minyak. Pelaksanaan diskaun ini sangat memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya terutama bagi golongan belia seperti saya yang masih tidak mempunyai kewangan yang kukuh,” katanya.

Pelajar universiti, Aiman Mohamed Shah Johan Shah, 21, berkata pemberian diskaun tol itu merupakan satu rahmat buatnya memandangkan banyak lagi keperluan di universiti yang perlu ditampung.

Penjawat awam, Siti Nuratiqah Abu Bakar, 28, pula berkata pemberian itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha menunaikan manifesto pilihan raya meskipun ia tidak melibatkan penghapusan tol sepenuhnya.

“Pemberian diskaun ini menunjukkan kerajaan berusaha menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14. Saya bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengambil berat keperluan rakyat,” katanya.

Diskaun tol sebanyak 18 peratus akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya itu sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");