Perak Hari Ini

Taktik Pemandu Grab Edar Dadah Dalam Bungkusan Minuman Tumpas

IPOH: Taktik seorang pemandu e-panggilan, Grab yang mengedar dadah dengan menggunakan paket minuman 3 dalam 1 serta botol minuman berjenama mengundang padah apabila dia ditahan di sebuah rumah kedai di Kampung Simee, dekat sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata hasil serbuan ke atas premis yang disewa lelaki berusia 24 tahun itu, polis berjaya menjumpai 245 paket serbuk dadah beranggaran berat 15,074 gram,50 biji pil estacy, 11 gram dadah jenis ketamine, serta 2.77 liter cecair yang disyaki dadah, di biliknya di tingkat atas.

Selain itu turut dirampas peralatan membungkus dadah serta sitaan ke atas kenderaan Toyota Vios beranggaran nilai RM45,000.

Jelas Hong Shuan , hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah. Kes jenayah tersebut melibatkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM753,295, iaitu nilai rampasan terbesar pada tahun ini, setakat ini,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Menurut Hong Shuan, dengan jumlah dadah yang dirampas tersebut ia boleh dibekalkan kepada sekitar 5,000 orang penagih di sekitar Ipoh.

Dalam pada itu, berdasarkan nilai rampasan yang besar beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pengedaran dadah tersebut turut melibatkan sindiket tertentu dan polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Jelasnya kesemua dadah yang dibungkus di dalam bungkusan paket plastik minuman 3 dalam 1 adalah sebagai taktik mahu mengaburi mata pihak berkuasa.

Selain itu katanya hasil siasatan awal mendapati dadah yang dibancuh dan dimasukan di dalam bungkusan-bungkusan botol minuman berjenama pula bertujuan diedarkan ke pusat-pusat hiburan.

Katanya lagi suspek telah aktif dalam kegiatan jenayah tersebut selama sebulan.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Oktober 2019. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan ia boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");