Perak Hari Ini

Taman Botani DiRaja Kuala Kangsar, Taman Botani Diraja Pertama Perak

KUALA KANGSAR- Taman Botani DiRaja Kuala Kangsar bakal menjadi Taman Botani Diraja Pertama Negeri Perak yang terletak di pesisir sungai, Sungai Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, melalui hasil kerjasama strategik di antara Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perak ianya akan dibina di kawasan tebing Sungai Perak berhampiran Persisiran Sayong.

“Jabatan-jabatan berkenaan telah mengusahakan program ini dengan beberapa institusi pendidikan bagi mengadakan program penanaman pokok di sekitar tebing Sungai Perak di mana sebanyak 1,000 pokok telah ditanam.

“Sehingga kini, pokok-pokok yang ditanam termasuk 300 pokok Ara telah berjaya ditanam dengan kerjasama pelbagai agensi sepanjang lima kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Program Restorasi Tebing Sungai Perak Sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’afifullah Shah; Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’afifullah Shah; Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda Sultan turut mencemar duli bagi merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019.


Sementara itu katanya, kerajaan negeri sedang dalam usaha untuk mendidik kaum orang asli untuk melestarikan alam sekitar.

“Jabatan perhutanan telah memulakan satu projek kepada mereka bagi menyemai pokok dan apabila tiba masanya kita akan membeli semula pokok tersebut kepada pembalak-pembalak untuk program penanaman semula pokok hutan.

“Perkara ini tentunya akan menambah ekonomi golongan kaum orang asli dan program ini akan dimulakan di suatu kawasan di Kuala Mu dan akan diperbesar ke kawasan-kawasan lain,” katanya.

Katanya, tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2019 adalah Hutan dan Pendidikan.

“Tema ini amat bertepatan sekali dengan hasrat meningkatkan kesedaran rakyat jelata tentang kepentingan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah berjaya mengekalkan dan mengurus sejumlah 988,603.94 hektar kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal dengan 474,882.34 hektar sebagai hutan perlindungan dan 513,721.60 hektar sebagai hutan pengeluaran.

“Kerajaan negeri juga komited dalam memastikan negeri Perak kekal sebagai antara negeri yang mempunyai jumlah Hutan Simpanan Kekal yang tinggi, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memastikan litupan berhutan berada pada tahap 50 peratus.

“Bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar, hidupan liar, perlindungan tanah dan sumber bekalan air mentah yang mencukupi, sejumlah 474,882.34 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal telah diklasifikasikan sebagai Hutan Perlindungan di mana 295,400 hektar adalah sebagai Hutan Tadahan Air,” katanya dalam sembah ucapan ketika majlis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");