Perak Hari Ini

Tidak Timbul Isu Sukar Mohon Atau Baharui Sijil Halal – Mujahid

IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa tidak timbul sebarang isu kesukaran dalam proses sama ada permohonan atau pembaharuan sijil halal.

Katanya urusan tersebut dapat dilakukan secara atas talian selain pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) juga menyediakan pelbagai kaedah lain sebagai pemudahcara urusan tersebut.

Namun tegasnya, JAKIM juga sentiasa memastikan agar kualiti persijilan halal berada pada tahap terbaik dan salah satu usahanya ialah dengan mengadakan siri-siri pemantauan sama ada secara mengejut ataupun tersusun.

“Dalam rangka usaha menjaga kualiti persijilan halal ini, kami ada satu program yang dipanggil ‘built-in-system’.

“Misalnya di restoran-restoran, menerusi program ini, kita boleh melatih pengurus restoran untuk memahami kaedah bagaimana halal itu dijaga.

“Ini antara kaedah yang kita lakukan dalam memastikan kualiti halal sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Tambahnya lagi orang ramai juga harus turut sama memainkan peranan dalam menjaga kualiti persijilan halal agar ia tidak disalahgunakan.

“Kita ada aplikasi yang dinamakan ‘Verified Halal’ yang mana semua produk yang mempunyai sijil halal dan berdaftar ada disenaraikan di situ.

“Jika ada para pengguna berasa ragu terhadap sesuatu produk, mereka boleh memeriksa menerusi aplikasi tersebut.

“Sekiranya pula produk itu tidak disenaraikan dalam aplikasi tersebut, namun mempunyai logo halal, ia adalah palsu dan pengguna boleh membuat aduan kepada kami,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada program Festival Ummatic 2.0 di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, di sini, malam tadi.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Masjid Muhammad Al-Fateh itu diadakan sebagai mempromosikan pendekatan rahmatan lil alamin yang sejajar dengan hasrat Kerajaan Persekutuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");