Perak Hari Ini

Adun Malim Nawar Tuntut Permohonan Maaf Daripada ‘Khoon Lee’

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Leong Cheok Keng sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada seorang pemilik akaun Facebook ‘Khoon Lee’ yang mendakwa dianiaya oleh kerajaan dan diabaikan wakil rakyat.

Menurut Cheok Keng lelaki yang dipercayai merupakan seorang pengusaha kolam ikan di Malim Nawar itu telah memuat naik tiga klip video sejak Selasa di Facebook dengan menyuarakan rasa tidak puas hatinya selain mendakwa dihalau oleh pihak kerajaan tanpa sebarang notis.

Katanya lelaki tersebut telah menuduh Adun Malim Nawar sebagai mengabaikannya berhubung isu pemilikan tanah kolam ikan yang dijalankan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Ujar Cheok Keng, lelaki itu bersama-sama empat pengusaha kolam ikan yang lain telah diberikan notis pengosongan pada Mac lalu selain kesemua mereka turut menghadiri perbincangan bersama-sama agensi kerajaan dan syarikat swasta yang terlibat untuk memajukan tanah tersebut, pada Mei tahun ini.

“Saya sudah berjumpa dengan kesemua mereka. Malah ia turut disertai pihak PKNP dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP). Semua pengusaha kolam ikan tersebut bersetuju untuk berunding.

“Selepas rundingan selesai, syarikat swasta yang dipertanggungjawab untuk memajukan tanah itu telah bersetuju untuk membayar pampasan atas kesemua kerugian yang ditanggung mereka.

“Namun ia tertakluk kepada sebarang bukti yang harus dikemukakan. Selepas itu, saya tidak lagi mendengar tentang keadaan mereka. Saya difahamkan mereka telah mendapat pampasan tersebut,” katanya.

Ekoran itu, Cheok Keng menganggap isu perusahaan kolam ikan yang didakwa berjalan sejak 40 tahun di atas tanah PKNP itu telah selesai.

“Saya beri tempoh tujuh hari bermula hari ini, supaya dia membuat permohonan maaf. Walau bagaimanapun, saya berpandangan akan tetap teruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif PKNP, Mohamed Shafeii Abdul Gaffor berkata pihaknya menyifatkan bahawa lelaki tersebut telah mengusahakan kolam ikannya secara besar-besaran.

Kerana katanya daripada lima kolam ikan yang diusakan di atas tanah PKNP yang dianggarkan berkeluasan 100 ekar itu, kolam ikan milik lelaki tersebut adalah yang terbesar.

“Sebagaimana arahan daripada kerajaan negeri yang mana jika ada pengusaha yang menjalakan perusahaan secara kecil-kecilan di atas tanah milik agensi kerajaan, kita akan bantu untuk pindahkan ke kawasan baharu.

“Namun tidak kepada mereka yang menjalankan perusahaan secara komersial atau secara besar-besaran,” katanya.

Menurutnya, PKNP bercadang untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat ternakan ikan yang mampu memberi jaminan kepada keselamatan makanan atau food security kepada masyarakat.

“PKNP mengambil tanggungjawab ini supaya kita dapat memastikan keselamatan makanan kita berada pada tahap maksimum.

“Disebabkan itu, PKNP memanggil syarikat-syarikat swasta untuk membangunkan perusahaan kolam ikan di situ, supaya boleh menghasilkan ikan-ikan yang berkualiti untuk orang ramai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");