Perak Hari Ini

Paul Yong Boleh Hadir Sidang DUN, Kata Peguam

IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang berhadapan dengan pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada Julai lalu boleh menghadiri sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bermula pada 18 November ini.

Peguam Leong Cheok Keng berkata, ia berikutan berlaku pindaan tarikh persidangan dari 12 November kepada Jumaat, yang mana ia tidak bertindih dengan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan bagi kes itu iaitu pada 11, 13, 14 dan 15 November.

“Hanya pada 15 November sahaja, ada sesi pembentangan Belanjawan 2020 Perak oleh Menteri Besar. Pada ketika itu, kita akan cuba minta pelepasan pada hari tersebut.

“Mungkin tiada masalah memandangkan kebiasaannya pembentangan Belanjawan Negeri hanya mengambil masa separuh hari sahaja,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua DUN Perak ke-14 telah ditetapkan pada 15 November bagi pembentangan Belanjawan 2020 Negeri, sebelum persidangan disambung pada 18 hingga 22 November.

Mahkamah Sesyen Ipoh pada 22 Oktober lalu menetapkan tarikh perbicaraan dijalankan selama empat hari dengan memanggil mangsa yang merupakan wanita warga Indonesia berusia 23 tahun sebagai saksi utama.

Mengulas lanjut, Cheok Keng berkata, selaku tertuduh, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh itu perlu menghadiri setiap prosiding di mahkamah.

Bagaimanapun katanya, Paul Yong masih punya tanggungjawab selaku wakil rakyat dan juga anggota Exco Kerajaan Negeri.

“Kami di pihak peguam akan berbincang berkenaan perkara ini dan saya kira tiada halangan untuk beliau hadir ke Persidangan DUN.

“Sebelum ini kita telah memohon pelepasan pada 12 November dan ia dibenarkan oleh mahkamah. Pada beberapa hari lalu saya terima pula surat pindaan persidangan ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");