Berita Hari Ini

‘Calon MCA Sandaran Muafakat Nasional UMNO, PAS’

KUALA LUMPUR: Pemilihan calon MCA di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermatlamat memenuhi kelompongan muafakat nasional antara UMNO dan PAS.

Kemenangan calon MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng pada PRK 16 November ini akan menambah wakil rakyat pembangkang bukan Melayu/Islam di Parlimen yang ketika ini hanya menyaksikan dua wakil masyarakat itu di blok pembangkang, masing satu dari MCA dan MIC.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata muafakat nasional yang dimeterai 14 September lalu yang secara langsung antara Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera (GAGASAN) ketika ini membabitkan kerjasama majoriti Melayu/Islam.

“Setiausaha Agung PAS telah hubungi saya di Qatar sebelum ini dan menyatakan hasrat BERJASA untuk bertanding di Tanjung Piai. Kita sudah cakap dan tidak bersetuju mereka bertanding.

“Kerana kita berpandangan untuk menonjolkan calon MCA dengan melihat bukan dalam konteks Tanjung Piai saja tetapi di peringkat nasional.

“Oleh kerana Muafakat Nasional terlalu majoriti Melayu muslim dan memerlukan adanya rakyat bukan Islam. Maka ditonjolkan MCA sebagai wakil calon kita di Tanjung Piai.

“Mengapa MCA? Kita tidak meletakkan orang bukan Islam dalam satu bakul sahaja, ada yang ekstrem dan ada yang tidak ekstrem. MCA tidak ekstrem seperti yang lain, oleh sebab itu terima calon MCA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog majlis ramah mesra media bersama Presiden PAS dan pelancaran Harakahdaily versi baharu, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengakui kerjasama yang dibentuk dalam GAGASAN adalah longgar yang hanya terikat pada budi bicara dan moral politik.

“Ia hanya bersifat taawun siyasi, bukan hubungan dengan syarat yang ketat, jadi banyak yang tak terikat, cuma budi bicara dan terpulang pada moral politik. Sepatutnya hormati kawan dalam GAGASAN, ada disiplin dalam parti masing-masing,” katanya.

GAGASAN adalah pakatan bagi blok kuasa ketiga dan diwujudkan pada 2016.

Selain PAS dan BERJASA, gabungan itu turut membabitkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

BERJASA mempertaruhkan Presidennya, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz pada PRK Tanjung Piai.

Sementara itu, dalam isu pembahagian zakat kepada orang bukan Islam, Abdul Hadi berkata, Islam memberi kelonggaran dalam isu berkenaan jika ada lebihan kutipan zakat selepas diagihkan kepada umat Islam lapor BHarian.

“Namun Islam beri kelonggaran bila zakat itu sudah berlebihan dan orang Islam sudah berlebihan dan orang Islam semua sudah terima zakat dan kita boleh beri kepada kalangan bukan Islam dalam konteks kemanusiaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");