Sukan Hari Ini
Like

Gagal Ke Olimpik, Kami Terima Kritikan Dengan Terbuka, Kata Kapten Malaysian Tigers

November 6, 2019
238 Views
0 Comments
3 minutes read
Gagal Ke Olimpik, Kami Terima Kritikan Dengan Terbuka, Kata Kapten Malaysian Tigers

SEPANG: Sebagai seorang atlet, sudah menjadi lumrah untuk disanjung tinggi apabila meraih kejayaan dan dikritik teruk apabila berhadapan dengan kegagalan.

Itulah nasib skuad hoki lelaki kebangsaan sekarang apabila menerima kritikan hebat daripada banyak pihak selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad yang menerima jolokan ‘The Malaysian Tigers’ itu, terlepas peluang terakhir untuk meraih tiket ke Tokyo, apabila mengalami kekalahan besar 9-3 secara agregat kepada juara Olimpik tiga kali, Great Britain di Lee Valley, London pada hujung minggu lepas.

Kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berkata beliau dan rakan sepasukannya mengambil kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk kejohanan-kejohanan akan datang.

“Memang semua pemain dan staf kejurulatihan yang hadir di sana kecewa, itulah sukan, adakalanya apa yang kita ingin capai, tak tercapai. Jadi apa yang mungkin kita boleh lakukan ialah kalau ada peluang lagi pada masa hadapan (untuk ke Olimpik), kena bekerja lebih keras.

“Saya tahu ramai peminat kecewa, mereka kritik kami, itu adalah lumrah biasa dalam sukan,” katanya kepada pemberita sejurus tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini,

Kali terakhir Malaysia layak ke pentas Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney.

Pemain berusia 34 tahun itu berkata, beliau akan meneruskan kariernya sebagai pemain hoki, tetapi mungkin akan mengambil rehat pendek buat sementara waktu.

Ditanya mengenai masa depan Ketua Jurulatih, Roelant Oltmans yang mungkin ditamatkan kontrak oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Sukri berkata ia bergantung kepada keputusan pengurusan.

“Saya tidak boleh komen mengenai perkara itu kerana kita sebagai pemain, kita hanya boleh lakukan tugasan sebagai pemain sahaja. Saya rasa beliau dah jalankan tugas dengan sebaik yang mungkin, cuma apa yang kita nak capai, tak tercapai,” katanya.

Menurut Sukri, pasukan negara yang menduduki ranking ke-11 dunia, sememangnya layak beraksi di pentas Olimpik dan jurang perbezaan dengan pasukan gergasi dunia, termasuk Great Britain tidak begitu ketara.

“Walaupun berhadapan pasukan yang kuat dan bermain di tempat mereka, kita tak takut untuk bermain, kita banyak buat serangan dan mencipta gerakan-gerakan bahaya.

Perbezaan tak berapa jauh, tetapi apa yang saya nampak secara kasar adalah pasukan Great Britain lebih bijak dalam mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol, walaupun menurut statistik, kita lebih banyak melakukan percubaan,” katanya.

Terdahulu, pasukan itu diberikan kata-kata semangat oleh bekas pemain kebangsaan dan timbalan presiden Persekutuan Hoki Malaysia (kini dikenali sebagai Konfederasi Hoki Malaysia), P Alagendra, supaya tidak patah semangat dan terus berjuang demi negara.

“Tidak mengapa jika kalah, tapi apa yang penting ialah kita mesti fikir kenapa kita gagal dan setiap orang mesti tahu apa kesilapan sendiri. Kita mesti pegang kuat dalam hati, ini bukan perjuangan terakhir,” katanya.

Bekas ketua polis Selangor berusia 90 tahun itu, mewakili negara pada Sukan Olimpik 1956 di Melbourne dan sebagai jurulatih pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, sebelum dilantik sebagai pembantu pengurus pasukan pada edisi 1968 di Mexico dan 1972 di Montreal memetik FMT.

Komen & Pendapat

Comments are closed.