Panasnya Hari Ini
Like

Farid Kamil Merengkok Dalam Penjara 9 Bulan

November 27, 2019
410 Views
0 Comments
1 minute read
Farid Kamil Merengkok Dalam Penjara 9 Bulan

SHAH ALAM: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil, terpaksa merengkok dalam penjara sejak Khamis lalu, selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara selama sembilan bulan ditolak Mahkamah Tinggi di sini.

Farid Kamil yang juga suami kepada aktres, Diana Danielle, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan itu selepas disabitkan dengan kesalahan dadah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli, berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman, dalam penghakimannya menolak rayuan tertuduh, sebaliknya mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei lalu.

“Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa sejak Khamis minggu lalu,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian, di sini, hari ini.

Menurut akhbar tersebut, ketika prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu berlangsung, Farid Kamil, 38, hadir bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga dengan menunggang motosikal.

Mei lalu, Farid Kamil atau nama sebenarnya Datuk Farid Kamil Zahari, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas disabitkan dengan kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid Kamil, memilih untuk berdiam diri selepas diperintahkan membela diri.

Bagaimanapun, selepas 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Ab Karim membenarkan penangguhan hukuman terbabit selepas permohonan rayuan difailkan pelakon berkenaan.

Mengikut pertuduhan, pelakon filem J Revolusi itu didakwa menggunakan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling Jaya, pada 11 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Komen & Pendapat

Comments are closed.