Perak Hari Ini

‘Hanya Satu Jersi Ada Kesilapan Cetakan Bendera Perak’

IPOH: Persatuan Bola Keranjang Perak memohon maaf atas kesilapan cetakan bendera Perak pada jersi salah seorang pemain pasukan bola keranjang negeri yang tular di media sosial sejak semalam.

Dalam satu kenyataan yang diserahkan kepada Exco Belia dan Sukan Negeri, persatuan tersebut berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut selain berjanji akan lebih berhati-hati berhubung cetakan lambang atau bendera negeri pada masa akan datang.

“Setelah didapati gambar jersi bola keranjang berkaitan tersebar di sosial media, pihak Pengurusan Persatuan Bola Keranjang Perak segera membuat siasatan dengan menghubungi Pengurus dan Jurulatih yang berada di Kuala Lumpur.

“Maklum balas yang diterima adalah bahawa daripada 24 helai jersi yang dicetak, terdapat satu helai sahaja yang didapati bendera Negeri Perak dicetak terbalik, hasil kesilapan yang tidak disengajakan oleh pembekal.

“Kami ikhlasnya memohon maaf atas kesilapan tersebut dan berjanji untuk tidak mengulang kesilapan tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pejabat Exco Belia dan Sukan Perak dalam satu kenyataan berasingan mengesahkan bahawa ada menerima surat daripada persatuan tersebut.

Walau bagaimanapun, pihaknya akan menghantar satu surat tunjuk sebab bagi mendapatkan penjelasan isu tersebut secara formal.

“Saya juga telah mengarahkan semua pasukan, persatuan dan kelab sukan negeri untuk lebih cakna dan teliti terhadap semua lambang dan bendera rasmi negeri selaras dengan semangat patriotik kita terhadap negeri.

“Semoga insiden menjadi pelajaran kepada semua pihak untuk lebih berhati-hati,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan pasukan bola keranjang Perak telah mengambil bahagian dalam satu kejohanan sukan tersebut di Kuala Lumpur anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).

Acara tersebut juga mengundang keresahan orang ramai apabila tular klip video yang memaparkan Bendera Malaysia dengan lima bintang sewaktu acara nyanyian lagu Negaraku semasa kejohanan tersebut berlangsung.

Dilaporkan MABA kemudian memohon maaf dan bertanggungjawab atas perkara itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");