Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Peruntukan RM65,000 Bagi Tujuan Kebajikan Bekas Atlet Cemerlang

IPOH: Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak menerusi Majlis Sukan Negeri Perak telah memperuntukkan sebanyak RM65,000 bagi tujuan kebajikan kepada bekas-bekas atlet negeri cemerlang yang berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai masalah kesihatan.

Exco Kerajaan Negeri bertanggungjawab, Howard Lee Chuan How, berkata pada dua bulan lalu, pejabatnya dengan kerjasama sebuah kolej swasta telah mewujudkan satu biasiswa yang memberi fokus kepada atlet dan bekas atlet negeri.

Katanya ia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri dalam memberi pengiktirafan kepada bekas-bekas atlet Perak yang telah mengharumkan nama negeri dalam apa-apa temasya sukan sekurang-kurangnya Sukan Malaysia (Sukma).

“Jika di peringkat kebangsaan, atlet-atlet mempunyai satu pertubuhan yang berfungsi untuk menjaga kebajikan selepas mereka menamatkan perkhidmatan.

“Saya tidak pasti namun, setakat yang saya ketahui, usaha seperti ini tidak lagi ada di negeri-negeri lain. Kebajikan bekas-bekas atlet ini perlu kita hargai kerana mereka ini adalah warisan negara dan negeri,” katanya.

Tambahnya sehingga kini, seramai sembilan bekas atlet di Perak telah menerima sumbangan berjumlah Rm25,150 dan pada masa sama, kerajaan negeri sedang giat mengenal pasti senarai nama penerima yang baharu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Bekas Atlet Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Howard Lee telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada empat bekas atlet Perak yang telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa menerusi bidang sukan masing-masing.

Mereka ialah bekas atlet hoki Ahmad Fadzil Zainal Abidin, bekas atlet olahraga 4 kali 400 meter Shamsuddin Jaafar, bekas atlet olahraga Tang Choo Mong serta bekas atlet olah raga 400 meter, Josephine Mary.

Bekas atlet Sukan Olimpik 1984 Los Angeles, Ahmad Fadzil telah menerima sumbangan RM6,150 sementara bekas atlet Sukan Olimpik 1972 Munich, Shamsuddin menerima sumbangan RM 1000.

Manakala bekas atlet yang juga kini berkhidmat sebagai jurulatih sukan Olahraga, Choo Mong serta atlet Sukan Asia Beijing 1990 Josephine Mary masing-masing menerima sumbangan bernilai RM5,000.

“Bantuan ini agak kecil berbanding dengan jasa-jasa mereka namun ini adalah titik permulaan bagi kami memartabatkan agenda kebajikan sewajarnya kepada bekas-bekas atlet Perak,” kata Howard Lee.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");