Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Tetap Fokus Bangunkan Bagan Datuk

IPOH: Walaupun beberapa projek melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di Bagan Datuk telah dibatalkan, namun Kerajaan Perak tetap tidak meminggirkan daerah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata melalui RMK-11, sebanyak 12 projek pembangunan di daerah itu dengan peruntukan RM1.058 bilion telah diluluskan.

Katanya, antara projek yang telah siap dibangunkan ialah landskap Dataran Bagan Datuk manakala Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, Kompleks Sukan Bagan Datuk, Jambatan Bagan Datuk dan Politeknik Bagan Datuk sedan giat dibangunkan.

Tambahnya, menerusi inisiatif sama, projek-projek seperti Rancangan Tebatan Banjir Bagan Datuk dan Klinik Kesihatan Jenis 3 berserta kuarters di Hutan Melintang bakal dibangunkan.

Pada masa sama, ujar Menteri Besar, walaupun Bagan Datuk masih belum mempunyai pejabat pentadbiran berpusat namun Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk telah siap dibangunkan pada 14 Februari tahun lalu dan beroperasi pada 5 Mac 2018.

“Sebagai sebuah daerah yang baharu, pembangunan Bagan Datuk sentiasa mendapat perhatian khusus daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk melengkapkan kemudahan dan peranan Bagan Datuk sebagai sebuah daerah penuh.

“Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035 juga sedang dibangunkan sebagai suatu pelan perancangan bandar dan desa induk dan menyeluruh bagi Daerah Bagan Datuk sehingga tahun 2035,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup), Ahmad Faizal berkata projek menaiktaraf Padang SMK Seri Muara, dengan perbelanjaan RM222,000 dan Projek Pembinaan Baru Tandas Di SK Tanjong Bayan dengan peruntukan RM 653,009 telah siap sepenuhnya.

Sementara itu, beliau berkata dengan pelaksanaan projek Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) yang bakal disiapkan kelak bakal memberi limpahan ekonomi di daerah tersebut.

“Ini antara sebab kerajaan tubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi di sepanjang jajaran WCE termasuk untuk pembangunan ekonomi di Bagan Datuk.

“Kita berpandangan daerah Bagan Datuk adalah penting untuk dibangunkan dan saya yakin dengan pembangunan projek WCE, ia akan banyak membantu mempercepatkan pembangunan di daerah berkenaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");