Berita Hari Ini

Pihak Pendakwaan Akan Buktikan Zahid Seleweng RM31 Juta

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah akan membuktikan bekas timbalan perdana menteri itu telah menyelewengkan RM31 juta dana Yayasan Akalbudi dan bahawa tiada satu sen pun daripada wang itu telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.

Dalam kenyataan pembukaan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa tertuduh telah menerima rasuah sebanyak RM17 juta dan RM4.25 juta lagi suapan dan juga telah menerima hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM65 juta.

Raja Rozela berkata wang sebanyak RM31 juta itu telah diamanahkan kepada tertuduh atas kapasiti beliau sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu.

Katanya pihak pendakwaan akan membuka kesnya dengan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), untuk membuktikan tertuduh telah menyelewengkan dana bernilai kira-kira RM31 juta milik Yayasan Akalbudi, sebuah pertubuhan amal diperbadankan yang ditubuhkan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.

“Jejak aliran wang yang dikemukakan di mahkamah akan mendedahkan tiada satu sen pun daripada RM31 juta itu telah digunakan untuk manfaat golongan miskin.

“Sebaliknya jejak aliran wang itu akan menunjukkan sejumlah besar amaun telah digunakan, antara lain, untuk membayar bil kad kredit peribadi, dan untuk membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan cukai jalan bagi kenderaan milik persendirian,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes Ahmad Zahid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, lapor Bernama.

Raja Rozela memberitahu mahkamah, sekurang-kurangnya 20 saksi akan dipanggil untuk membuktikan pertuduhan CBT itu dengan disokong keterangan dokumen dan pihak pendakwaan juga akan bergantung pada andaian mengikut Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

Bgai pertuduhan rasuah, Raja Rozela berkata antara 2016 dan 2018, tertuduh ialah seorang pegawai badan awam yang memegang jawatan menteri di Kementerian Dalam Negeri.

“Sepanjang beliau berkhidmat, tertuduh didakwa menerima RM17 juta sebagai ganjaran bagi pemberian tiga kontrak penting kepada beberapa syarikat. Kontrak berkenaan telah dimeterai dengan Kementerian Dalam Negeri pada waktu itu. Pihak pendakwaan akan membentangkan keterangan bahawa tertuduh memainkan peranan penting dalam pemberian tiga kontrak itu.

“Pada atau kira-kira pada waktu yang sama, tertuduh turut menggunakan kedudukannya sebagai menteri apabila beliau didakwa menerima sebanyak RM4.25 juta lagi daripada seorang individu,” katanya.

TPR berkata pembayaran itu diterima sebagai suapan untuk mendorong tertuduh membantu mendapatkan projek MyEG yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");