Berita Hari Ini

Pindaan Sosma Dibentang Seawal Mac, Kata Muhyiddin

AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) akan dipinda dan dibentang di Dewan Rakyat seawal Mac depan kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Cadangan tersebut meliputi pindaan melibatkan tempoh tahanan, seperti yang diteliti semula selepas dibentangkan ke Kabinet beberapa bulan lalu, katanya.

“Lebih tiga bulan lalu kita sudah bawa ke kabinet. Kementerian sudah bersedia tetapi bila kita bawa balik, jemaah menteri ada pandangan, minta kita halusi lagi.

“Sekarang ini, kita belum siap kertas pindaan itu. Kena bincang dalam kabinet dahulu (semula). Saya fikir awal bulan Mac 2020, sesi akan datang kita bentang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai pindaan terhadap Sosma yang melibatkan perubahan pada bidang kuasa yang didakwa kejam.

Ia termasuk pindaan ke atas kuasa menahan tanpa perbicaraan selama 28 hari bagi mengelakkan penyalahgunaan, kata perdana menteri.

Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata antara yang diteliti adalah menyingkatkan tempoh tahahan kepada 14 hari dan melanjutkanya kepada 14 hari lagi dengan kebenaran mahkamah.

Jelasnya ia mengambil kira pandangan Kabinet yang berpendapat tempoh 28 hari itu terlalu lama dan keperluan polis untuk menangani kes keganasan.

“Ramai kata 28 hari ini terlalu panjang, mereka fikir lebih elok disingkatkan.

“Tapi pihak penguatkuasa seperti polis berkata kalau berkaitan dengan keganasan, mereka memerlukan masa yang lebih untuk mengkaji supaya keputusan dibuat itu tepat.

“Tapi ada juga pandangan kalau begitu, mungkin kita bagi 14 hari, dan untuk menyambung 14 hari lagi jadi 28 hari mesti dibawa ke mahkamah, dapat keputusan hakim,” katanya.

Selain daripada itu kata Muhyiddin, fasal berkait dengan kesalahan mensabotaj ekonomi juga akan diteliti semula kerana tidak mahu kes yang melibatkan “keputusan politik” berulang.

“Contohnya macam kes Maria Chin dan Matthias Chang yang kemudian didapati dibuat berdasarkan keputusan politik.

“Jadi kita nak elakkan perkara itu timbul, ada cadangan supaya bab itu juga kita pinda atau kita tiadakan,” katanya.

Kes Maria Chin itu berhubung penahanan ahli Parlimen Petaling Jaya itu pada November 2016 di bawah Sosma kerana didakwa melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Peguam Mathias Chang pula didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara pada 12 Oktober 2015 atas kritikannya ke atas 1MDB.

Beliau dibebaskan oleh mahkamah dua tahun kemudian.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan kerajaan untuk mempercepatkan pindaan Sosma bagi mengelakkan salah guna kuasa.

Jelasnya, beliau tidak ada masalah sekiranya penahanan di bawah Sosma dibuat atas faktor keganasan yang jelas seperti serangan bom.

Katanya, penahanan tidak wajar dibuat bagi isu teknikal yang kecil seperti memakai baju berkait dengan ISIS atau berhubung menggunakan talian WhatsApp.

“Saya setuju supaya kita ada undang-undang keras untuk menghadapi ancaman jenayah besar atau keganasan tetapi peruntukan itu jangan beri ruang terlalu luas sehingga boleh berlaku ketidakadilan.

“Kalau kesnya itu lontar bom, saya tiada simpati tetapi kalau kesnya dia pakai baju ISIS, atau dia whatsapp, saya fikir janganlah dibebankan sehingga seluruh keluarga derita kerana satu kesilapan teknikal yang kecil,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");