Sukan Hari Ini
Like

Razlan Berang, Kecewa Insiden Kecurian Di Litar Sepang

November 2, 2019
276 Views
0 Comments
2 minutes read
Razlan Berang, Kecewa Insiden Kecurian Di Litar Sepang

SEPANG – Insiden kecurian di Litar Sepang menimbulkan kekecewaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

Beliau berkata insiden ini sedikit sebanyak memberi gambaran negatif terhadap SIC khususnya dari segi kualiti kawalan keselamatan sepanjang penganjuran MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia.

“Saya kecewa dengan insiden ini sebab kita sudah buat persediaan teliti dengan kerjasama pihak DORNA (pemegang hak penganjuran MotoGP) untuk menjaga keselamatan bukan sahaja terhadap pelumba tetapi harta benda mereka.

“Saya begitu marah kerana kita bersedia sepenuhnya namun ada pihak buat perkara ini untuk memburukkan nama negara dan nama litar yang kita anjurkan sukan bertaraf dunia,” katanya pada media di Litar Sepang, hari ini, lapor Bernama.

Insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat, antara pukul 1 hingga 5 pagi, dalam keadaan cuaca hujan lebat.

Antara yang paling terkesan dengan insiden tersebut ialah pasukan Angel Nieto Team, yang menyaksikan beberapa alat ganti seperti tayar depan, ‘suspension’ dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 telah dicuri.

“Apa yang saya dapat tahu selepas mesyuarat dengan pasukan, mungkin ada satu kumpulan yang sudah tahu apa yang mereka mahu curi.

“Sebagai contoh, ada tayar depan dan belakang tapi mereka ambil tayar depan sahaja. Mereka tahu alat ganti apa untuk digunakan pada jentera,” katanya.

Razlan mendedahkan pihak SIC telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut, bagaimanapun jumlah kerugian masih belum boleh dipastikan lagi.

Tambahnya, ganti rugi melibatkan pasukan yang terkesan akan dilindungi oleh insurans.

Razlan menegaskan bahawa Litar Sepang dikawal rapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan turut mengambil langkah pengawasan yang ketat dengan mewujudkan sistem imbasan akreditasi bermula tahun ini.

Komen & Pendapat

Comments are closed.