Perak Hari Ini

Saksi Beritahu Soosaimanickam Terbuang Air Besar Sewaktu Mandi Sebelum Dibawa Ke Hospital

IPOH: Mahkamah Koroner Ipoh hari ini diberitahu pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) J. Soosaimanickam, yang meninggal dunia semasa menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei tahun lalu telah terbuang air besar ketika mandi sebelum dikejarkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT).

Saksi ketiga inkues, Leftenan TLDM Nur Suhana Kasim Bakri, 32 berkata Soosaimanickam sebelum itu sedang menjalani latihan rutin jasmani larian perlahan bersama-sama pegawai kadet graduan lain pada sebelah pagi dengan melalukan larian tiga pusingan mengelilingi bangunan Mahkamah Tentera di situ.

Katanya beliau ketika itu bertugas sebagai pegawai latihan bertugas harian yang memulakan tugasnya pada jam 8.20 pagi dan mengambil alih tugas sama daripada Leftenan Komander Norazran yang tamat waktu bertugas.

Ujarnya ketika itu beliau dimaklumkan oleh Leftenan Muda Afiq bahawa salah seorang pelatih berada dalam keadaan kurang sihat namun enggan lapor sakit.

Nur Suhana berkata selepas itu, Soosaimanickam telah diarahkan untuk melakukan latihan ringan secara berasingan sambil dipantau pegawai jurulatih bertugas sebelum diarahkan untuk ke gimnasium bagi pemeriksaan indeks jisim badan (BMI).

“Kemudian saya mengarahkan Soosaimanickam untuk kembali ke blok penginapan pelatih dan sementara itu saya dan leftenan muda Afiq pergi ke HAT untuk melawat pelatih lain yang sedang menjalani rawatan.

“Sekembali dari HAT, leftenan Muda Afiq telah terlebih dahulu masuk ke blok yang didiami Soosaimanickam sementara saya sedang mengemas barang-barang peribadi.

“Apabila tiba di kaunter resepsi blok, Leftenan Muda Afiq memberitahu bahawa Soosaimanickam telah terbuang air besar sewaktu mandi. Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan terus memaklumkan kepada Pegawai Koordinasi Leftenan Komander Faiz Zalim bagi urusan kesihatan kadet,” katanya.

Tambahnya lagi, Leftenan Muda Afiq telah pergi menguruskan Soosaimanickam sebelum dibawa ke HAT dan ketika menuju ke kenderaan, Nur Suhana berkata Soosaimanickam berada dalam keadaan lemah sambil dipapah oleh rakan-rakannya.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistina Qamarul Abrar, Nur Suhana memberitahu mahkamah koroner bahawa beliau ada ternampak kesan luka pada siku dan dahi Soosaimanickam.

“Semasa di HAT, dia dimasukkan ke unit kecemasan. Saya ketika itu menunggu di luar. Dalam sekitar sejam, Pegawai Perubatan 96 HAT, Mejar Dr Harvind Singh mengesahkan Soosaimanickam disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 tengah hari,” katanya.

Koroner Azman Abu Hassan kemudiannya mempersoalkan tahap kesihatan Soosaimanickam dan bagaimana tatacara pemeriksaan kesihatan menyeluruh ke atas pelatih sebelum Soosaimanickam dibenarkan menyertai anggota unit beruniform tersebut

Ini kerana Soosaimanickam meninggal dunia ketika baru dalam tempoh seminggu menjalani latihan sebagai pegawai kadet graduan.

Difahamkan dalam prosiding inkues hari ini ia telah melibatkan tiga orang saksi.

Mahkamah Koroner juga hari ini sepatutnya memanggil Dr S.Saravanan dari Hospital Seri Manjung, individu yang bertanggungjawab menjalankan bedah siasat ke atas Soosaimanicckam namun, difahamkan Saravanan berada dalam keadaan kurang sihat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");