Berita Hari Ini
Like

Sikap AS pada Israel tak masuk akal – PM

November 20, 2019
182 Views
0 Comments
1 minute read
Sikap AS pada Israel tak masuk akal – PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan pendirian AS terhadap petempatan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak masuk akal kerana ia bagaikan mengizinkan rampasan tanah oleh sesebuah negara jiran.

Mengulas laporan yang memetik Setiausaha Negara AS Mike Pompeo yang mengumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump tidak menganggap petempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram, Dr Mahathir berkata ia satu tanggapan yang secara terang-terangan tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kita tidak lagi selamat. Jika sesebuah negara mahu masuk ke negara kita dan membina petempatan mereka, itu adalah sah di sisi undang-undang. Kita tidak boleh buat apa-apa,” kata beliau yang dipetik daripada kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Dr Mahathir juga melahirkan kebimbangan kerana pengumuman dibuat pentadbiran Trump itu akan menggalakkan lagi kekejaman tentera Israel yang kini sedang ghairah melakukan pembunuhan dan serangan ganas ke atas Gaza dengan laporan-laporan yang mendedahkan kanak-kanak antara yang terkorban.

“Anda mengumumkan bahawa petempatan haram mereka adalah sah semasa mereka sedang melakukan serangan ke atas Gaza tanpa alasan … tidakkah ia bagai menggalakkan mereka untuk terus membunuh kanak-kanak dan orang awam dan mereka tidak akan dihukum?

“Sebaliknya mereka akan mendapat ganjaran dengan mendirikan petempatan di atas tanah orang yang mereka bunuh,” kata perdana menteri.

Langkah pentadbiran Trump itu menimbulkan kemarahan antarabangsa kerana perubahan pendirian AS itu melencong daripada ketetapan pentadbiran AS pada 1978 bahawa kewujudan petempatan itu tidak selari dengan undang-undang antarabangsa.

– Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.