Perak Hari Ini

Ulu Slim Bakal Jadi Kampung Persaraan

IPOH- Kerajaan negeri merancang untuk memastikan kesejahteraan rakyat khususnya warga emas dengan membangunkan Projek ‘Retirement Village’ di Ulu Slim.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing berkata memandangkan populasi warga emas dunia, mahupun di Perak semakin meningkat, maka kerajaan negeri telah mengenalpasti bahawa pembangunan sektor penjagaan dan kesihatan warga emas perlu diutamakan.

“Kerajaan Negeri telah bersedia memberikan tanah seluas 780 ekar di Ulu Slim untuk dijadikan Projek Pembangunan Korridor Persaraan, iaitu Projek ‘Retirement Village’ yang dikendali oleh Maju Perak Holdings Bhd dan dijangka akan melibatkan pelaburan tempatan dan asing.

“Pada peringkat permulaan, Kerajaan Negeri akan menyediakan tanah sebanyak 284 ekar pada Fasa 1 pembangunan korridor persaraan yang menyasarkan pesakit luar dan warga emas yang berminat bersara di Perak, dimana jumlah pelaburan pada fasa 1 adalah dijangkakan sebanyak RM 2 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Jenny Choy Tsi Jen (DAP-Canning) dalam sesi soal jawab lisan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Katanya, projek tersebut adalah untuk mewujudkan satu perkampungan yang sesuai untuk bersara kerana Ulu Slim merupakan kawasan yang paling sesuai untuk membangunkan konsep kampung persaraan ini.

“Kerajaan negeri berpendapat bahawa Ulu Slim mempunyai kolam air panas yang belum dimajukan, kawasan perhutanan, kualiti udara dan lain-lain ciri yang amat sesuai dimajukan untuk menjadikan kawasan terbabit sebagai tarikan pelancongan kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, dalam perancangan jangka masa panjang pula, projek tersebut dijangka untuk membangunkan kolam air panas awam, kolej kejururwatan dan penjaga profesional, agro Mall, hotel, sekolah antarabangsa, kawasan perumahan,taman bio-tech dan sebagainya.

“Namun begitu, kaedah pelaksanaan projek ini masih dalam perancangan dan akan diperhalusi dalam masa terdekat dengan kerjasama pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");